KT-Bypass ; Bantahan Terhadap Pampasan Tanah Tidak Dilayan?

2402

Oleh : Suhaimi Taib

Projek ByPass Kuala Terengganu (KT By-pass) menjadi liabiliti kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu kerana tiada perundingan konkrit antara pihak kerajaan dengan pemilik tanah yang tidak berpuashati dengan pampasan tanah.

Sepatutnya Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bersedia mendengar rungutan pemilik tanah dan menilai semula pampasan yang diberikan atas ihsan kerajaan negeri itu agar keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dapat diserlahkan.

KT-Bypass Kuala Terengganu sudah dimulakan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia sejak bulan Julai 2016 dan ia melibatkan pembinaan laluan sepanjang 5.875 km., bermula dari persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) hingga ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bharu – Kuala Terengganu.

Untuk melengkapkan laluan baru ini, turut akan dibina empat jambatan, dua Vehicular Box Culvert (VBC), ataupun laluan bawah, menaik taraf persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku kepada jenis bertingkat, sistem perparitan, pembentungan, lampu jalan, lampu isyarat dan kelangkapan jalan lain.

Secara keseluruhannya, projek ini memakan belanja sebanyak RM321 juta, dan daripada jumlah itu, termasuk RM167 juta adalah merupakan kos kontrak manakala RM154 juta pula adalah untuk kos pengambilan tanah.

Berkenaan soal pengambilan tanah ini, ia melibatkan 293 lot.

Dalam tinjauan penulis mengenai isu ini, kerajaan Terengganu melahirkan sikap ‘double standard’nya ketika mana lesen untuk premis perniagaan diluluskan ke atas pemilik tanah yang statusnya tanah pertanian.

Ketika itu, status tanah dan bangunan di atas tanah terlibat tidak diambilkira untuk diberi kelulusan bagi menjalankan perniagaan kerana dipercayai atas faktor keuntungan dan perolehan hasil untuk pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Dalam ertikata lain, kelulusan premis perniagaan diberikan walaupun tidak mengikut peraturan yang sepatutnya.

Bila pihak pemilik tanah tidak puashati dengan pampasan, Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 dirujuk untuk menentukan antara lain kadar sesuai pampasan tanah berkenaan.

Peruntukan untuk pampasan telah ditentukan dan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan, jika ada bantahan ia perlu dibawa ke mahkamah.

Atau Kerajaan Negeri perlu mencadangkan peruntukan tambahan selepas mendengar rayuan dari pemilik tanah.

Persoalannya, seolah-olah tiada perundingan lagi antara pemilik tanah dengan pihak kerajaan negeri dalam isu ini.

Pemilik tanah mendakwa mereka telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan pengambilan balik tanah untuk projek tersebut.

Mereka dimaklumkan oleh pihak berkenaan, bahawa tidak ada masalah untuk menilai semula pampasan tanah tersebut sekiranya ada ‘lampu hijau’ dari Kerajaan Terengganu.

Persoalannya sekarang, apakah Kerajaan Terengganu telah memberi lampu hijau kepada Kerajaan Persekutuan untuk membuat penilaian semula pampasan tanah bagi segilintir penduduk yang terlibat.

Menurut pegawai undang-undang sebuah jabatan kerajaan yang enggan namanya disebut menyatakan bahawa bayaran pampasan yang dinilai semula tidak melebihi 10 peratus dari nilaian asal pampasan tanah berkenaan.

Satu persoalan lagi, penulis melihat, semacam sengaja tanah di situ dihalang ditukar syarat sebelum projek bypass itu dilaksanakan.

Ini kerana ada pemilik tanah berkenaan membuat permohonan tukar syarat dari tanah kampung atau pertanian kepada bangunan tetapi permohonan itu tidak ada jawapan, sama ada diluluskan atau tidak.

Bererti ada pemilik tanah berusaha menukar status tanah kepada selayaknya untuk premis perniagaan tetapi permohonan itu tidak diluluskan.

Mungkin Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai peruntukan kewangan yang cukup untuk menampung keperluan penilaian semula tuntutan pemilik tanah terbabit, namun pemilik tanah menghadapi masalah akibat pampasan yang diterima tidak berbaloi.

Mereka tidak lagi berupaya menjalankan perniagaan seperti sebelum ini akibat pampasan itu.

Persoalannya lagi, ada tanah lain yang berstatus pertanian di sekitar Kuala Terengganu, dibayar mahal oleh individu atau syarikat tertentu tetapi berlaku sebaliknya ketika tanah diambil balik untuk projek kerajaan.

Rakyat setuju dengan pembangunan kerajaan yang mendatangkan faedah kepada mereka tetapi kerajaan tidak memberi layanan yang baik kepada pemilik tanah yang terkilan dengan pampasan tanah dibayar murah.

Sepatutnya rundingan dan budi bicara direalisasikan dalam penyelesaian isu ini agar keadilan dan rasa kebersamaan dapat dirasai oleh semua pihak.