Ameerah Rai Sukarelawan Fastaqim 2.0

2675

KUALA TERENGGANU – Ameerah menghargai para petugas Fastaqim 2.0 terutamanya wanita muda, dengan meraikan mereka dalam satu majlis di rumah Pengarah Ameerah Negeri Terengganu.

Tuan Rumah Puan Zuraida Mohd Noor berkata, majlis ramah mesra dan BBQ diadakan sebagai tanda kesyukuran kejayaan penganjuran Fastaqim 2.0 pada 29-30 September lalu.

“Satu penghargaan kepada sukarelawan yang bertugas dengan penuh komitmen dan bertanggungjawab selain dapat mengeratkan ukhuwah,

“Ini merupakan program susulan setelah berjaya mengumpulkan wanita muda sebagai sukarelawan Fastaqim 2.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang majlis meraikan petugas pada hari Jumaat 13 Oktober di kediamannya Sungai Rengas, disini.

Menurutnya, majlis itu dihadiri 200 orang sukarelawan daripada Ameerah, Pemuda, Alternative Riding Club (ARC), Gasak dan Ameerah Riders.

Seorang sukarelawan Khairunnajjah Mohd berkata, beliau dan beberapa orang Ahli Jawatan Kuasa Kebersihan telah bertugas lebih awal sejak bermulanya program himpunan tersebut.

“Ini termasuklah katanya, membersihkan tapak program sebelum ia bermula dan mereka jugalah yang paling akhir sekali habis bertugas bagi memastikan kawasan program berlangsung,

“kembali seperti sediakala bahkan lebih bersih daripada dulu,” jelasnya

Selain beliau, katanya, Ameerah Kuala Nerus juga bertugas di bahagian perbekalan makanan untuk para petugas manakala Ameerah Kawasan Setiu pula ditugaskan bahagian kebersihan tandas.

“Kami bertugas mengikut giliran sepanjang dua hari dan seramai 18 orang petugas bertugas bahagian kebersihan dan perbekalan,”kata Najjah.

Seorang lagi sukarelawan Nurul Husna Zakaria, ketika ditemui berkata, beliau sangat bangga kerana di pilih menjadi salah seorang yang dapat bertugas menyumbangkan tenaga dalam program mega tersebut.

“Saya merasa cukup bertuah kerana terpilih sebagai seorang sukarelawan dan sedikit sebanyak dapat menyumbang untuk program yang sangat besar dan hebat serta bermakna untuk jamaah,

“Fastaqim 2.0 pada kali ini sangat luar biasa dengan melihat kehadiran 200 ribu peserta, yang datang dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,

“yang mana himpunan pada kali ini seolah-olah PAS sedang memerintah negeri Terengganu,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar Allah membuka peluang sekali lagi untuknya, terus memberi sumbangan dalam program seumpamanya, di lain kali.