Persidangan Nusantara Suntik Kefahaman Bersyariat Dalam Perubatan

2435

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA NERUS – Persidangan Nusantara Isu-Isu Perubatan Menurut Perspektif Islam bermatlamat mewujudkan kesedaran dan kefahaman yang menyeluruh tentang keluasan makna dan kaedah perubatan yang diterima pakai atau yang selaras dengan syariat Islam yang dijunjung.

Pengerusinya, Dr Awisul Islah Ghazali berkata, ia bertujuan untuk menyuburkan budaya ilmu di kalangan kakitangan kesihatan dan anggota masyarakat.

Katanya, Persidangan itu akan mengetengahkan pakar dan ilmuan yang berpengalaman untuk menjelaskan pelbagai isu perubatan terkini serta pandangan Islam mengenainya dan mengharmonikan sudut pandang antara perubatan moden komplementari.

“Tema Persidangan kali ini adalah Perubatan Islam Merentasi Zaman yang akan mengupas peradaban perubatan Islam seawal kerasulan Nabi Muhammad SAW sehinggalah zaman kemuncak kegemilangan Islam,

“dan seterusnya membincangkan keupayaan syariat Islam di dalam menyesuaikan teknologi sains moden pada masa kini agar sentiasa berada di dalam lingkungan perintah dan larangan Allah SWT dan tidak terpesong daripada landasan yang telah di gariskan oleh Al-Quran dan As Sunnah,

“Inilah antara keistimewaan persidangan yang menggabungjalin disiplin yang saling berkait rapat,” jelasnya.

Beliau berkata, sasaran peserta Persidangan Nusantara pada 16 dan 17hb September tersebut adalah terbuka kepada kelompok kakitangan kesihatan dan agamawan serta masyarakat awam dalam negeri dan luar negara negara terutamanya di Asia Tenggara.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pra-Persidangan itu di Dewan Intan 2, TH Hotel dan Convention Centre, Jumaat 8 September, disini.

Menurut beliau, pihaknya mengambil kesempatan atas kedatangan delegasi luar negara ini dengan mengadakan satu mesyuarat WMHU (World Muslim Health Union) peringkat Asia Tenggara Kali Pertama.

Katanya, laporan mesyuarat itu akan diangkat ke persidangan antarabangsa yang akan diadakan di Istanbul pada hujung tahun ini.

“kita telah pun mencapai sasaran penyertaan bagi kedua-dua bengkel pra-persidangan dan juga persidangan utama dan kita telah mencapai melebihi 150 orang untuk bengkel pra-persidangan,

“Manakala untuk persidangan utama, penyertaan melebihi 350 orang termasuklah daripada negara Thailand, Indonesia, Filiphina dan Brunei cukup menggalakkan,” ujarnya.

Oleh itu kata beliau, persidangan ini akan dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato Dr Haji Azman Abu Bakar yang mana turut mengumpulkan ilmuan agama seperti Dato Mufti Kelantan dan Terengganu.

Antara panel persidangan, katanya ialah, pakar perubatan daripada pelbagai bidang seperti Pakar Bedah Neurosurgeri merangkap Naib Canselor UniSZA, Dato’ Prof Dr Zubaidi Abd Latif, Pakar Perunding Anesthesiologi IJN Pakar merangkap Pengerusi PAPISMA, Dato Dr Suhaini Kadiman, Timbalan Dekan Perubatan UNISZA dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Prof Dr Harmy Mohd Yusoff (Gambar bawah) dan Pengarah Hospital Sungai Buluh, Dato Dr Khalid Ibrahim.

Justeru itu katanya, antara perkara menarik yang akan dibincangkan dalam Bengkel Pra-Persidangan kali ini adalah Khitan Anak Perempuan dan Tahnik, Fekah Wanita dan Praktikal Akupunktur.

Sehubungan itu kata Awisul, pada malam tersebut akan diadakan Forum Bicara Mufti dengan tajuk Perubatan Merentasi Zaman bertempat di Masjid UNISZA Gong Badak yang menampilkan Mufti negeri Terengganu dan juga Profeser Dr Armi mewakili UniSZA.

“Manakala pada 16-17 September iaitu pada hari Sabtu dan Ahad persidangan utama akan berlangsung bertempat di Hotel dan Pusat Konvensyen TH Kuala Terengganu,

“Konsep (Persidangan ini adalah) kerjasama antara NGO kesihatan iaitu PAPISMA, Universiti terutamanya Universiti yang mempunyai kampus perubatan, Jabatan Agama dan Persatuan Perubatan Komplementari adalah kaedah penganjuran yang diguna pakai pada masa ini,” jelas beliau lagi.

Hadir sama pada Sidang Media itu ialah Pakar Resperatori daripada Sultanah Nur Zahirah yang merupakan Pengerusi Saintifik, Dr Tarmizi Hassan dan Timbalan Dekan Universiti Sultan Zainal Abidin yang juga mewakili Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Profesor Dr Harmy Mohd Yusof yang juga merangkap Timbalan Presiden PAPISMA.

Turut tidak ketinggalan ialah Pakar Kanak-kanak Hospital Nur Zahirah yang juga Timbalan Pengerusi Persidangan ini, Dr Mohd Zuraizi Jaafar dan Dr Wan Mohd Razin Wan Hassan yang merupakan Timbalan Pengarah 2 bagi Persidangan Nusantara kali ini.