Oleh : Khairul Nizam Abdullah
KUALA TERENGGANU – Madrasah Darul Ulum (Mad’u) akan melahirkan generasi muslim yang berilmu, beramal soleh, berakhlak mulia dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Setiusaha PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said berkata, sekolah rendah Islam yang kedua dalam kawasan Parlimen tersebut, akan dibuka pada sesi persekolahan 2018.
Katanya ia adalah inisiatif PAS bersama masyarakat dan orang ramai.
“Selain berusaha memenuhi matlamat Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu agar setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) ditubuhkan satu DAR (sekolah rendah) disamping memenuhi permintaan ibubapa yang berminat tetapi berada dilokasi yang berjauhan,
“Maka Mad’u ditubuhkan dengan harapan dapat melahirkan lulusan yang menguasai ilmu pengetahuan umum dan agama seterusnya beramal dengannya agar menjadi pemimpin pada masa depan yang memahami ajaran dan nilai Islam sebagai cara hidup,” jelasnya.


Menurutnya, walaupun Madrasah Darul Salam sudah ada, namun ia tidak dapat menampung permintaan disebabkan bangunan yang sedia ada hanya mampu menampung seramai 400 pelajar sahaja.
Oleh itu, beliau bersyukur kerana ada pihak yang cintakan pendidikan Islam menawarkan tapak untuk merelisasikan pembangunan Mad’u.
“Sekitar dua bulan lepas, PAS Cawangan Chendering Raja telah menawarkan kepada PAS Kawasan Kuala Terengganu untuk mengunakan bangunan itu bagi mewujudkan sekolah rendah Islam,
“Dan PAS Kawasan Kuala Terengganu telah bermesyuarat pada 27 Ogos yang lalu dan membuat keputusan menerima tawaran tersebut,
“in shaa Allah ia akan memulakan sesi pengajian pada awal tahun 2018,” kata beliau yang juga merupakan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Batu Burok.


Justeru katanya, ia bakal dijadikan pusat pendidikan bersepadu ilmu agama dan dunia, selain dapat mengembang dan mengamalkan nilai-nilai akhlak mulia yang sesuai dengan ajaran Islam dalam kehidupan.
“Besar harapan kita untuk membangunkan potensi pelajar sehingga mampu berketrampilan dan kreatif dalam menghadapi tuntutan zaman selain meningkatkan disiplin dan rasa bertanggungjawab dalam kehidupan bermasyarakat mahupun keluarga,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, PAS Kawasan Kuala Terengganu merayu dan mengalu-alukan sumbangan kewangan atau barangan daripada seluruh muslimin dan muslimat bagi menyiapkan kompleks tersebut.


“Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan yang diberikan, semoga ianya menjadi bekalan jariah kita di sana,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan, kata beliau, boleh diajukan kepada Bendahari Mad’u Ustaz Ahmad Kamal Ali di talian 013-9239445 atau kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tuan Ngah Tuan Ahmad di talian 013-9556044.




























