PAS Gesa Kerajaan Terengganu Tolak Akta Laut Wilayah

2322

Oleh : KAM

KUALA TERENGGANU – PAS amat menyedari bahawa hasil negeri, hak rakyat serta kedaulatan negeri Terengganu wajar dipertahankan.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah melihat kewujudan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) itu merupakan suatu penubuhan yang besar.

Sepatutnya, kata beliau, penubuhan TPC itu dapat dibincangkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi mengetahui ketepatan objektifnya.

“Saya melihat tentang Majlis Petroleum Terengganu ini merupakan suatu penubuhan yang besar, yang sepatutnya dibincangkan dalam Dewan (Dun) seperti ini.

“Apakah peranan-peranan TPC ini, supaya kita dapat mengetahui ketepatan objektif menubuhannya dan kita tahu matlamat, usaha-usaha yang sedang dilakukan,” ujarnya kepada wakil media.

Beliau berkata demikian selepas Dewan Undangan Negeri berhenti rehat setelah selesai sesi Soal Jawab Lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-13, di Wisma Darul Iman, Isnin 14 Ogos.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu mendesak agar Akta Laut Wilayah 2012 ditolak oleh kerajaan negeri.

“Pertama, jika selesai menubuhkan Majlis Petroleum Terengganu ini kita mesti desak supaya Akta Laut Wilayah 2012 ditolak oleh kerajaan negeri Terengganu.

“Kedua, sehingga hari ini kita belum lagi mendapat maklumat yang lengkap tentang royalti sepatutnya diperolehi daripada hasil telaga minyak 307 Bertam.

“Ketiga, kerajaan tidak mampu memberikan suatu desakan yang besar terhadap segala usaha menjadikan hasil royalti negeri Terengganu ini menjadi hak rakyat Terengganu,” jelasnya.

Justeru, beliau menyokong usul yang cuba dibawa oleh Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin kerana berkait rapat dengan hasil negeri, kedaulatan negeri serta hak rakyat negeri Terengganu.