Oleh : Zulshawal
KUALA TERENGGANU – Program Himpunan Harapan Rakyat – PGU 3.7 (HARAP 3.7) yang bakal diadakan pada 27 hingga 29 Julai nanti akan dimeriahkan dengan penganjuran pertandingan Alam Ria PASTI peringkat Negeri Terengganu.
Pertandingan ini melibat penyertaan dari semua daerah merupakan acara tahunan bagi mencungkil bakat para pelajar PASTI dalam acara yang dipertandingkan.
Pengarah PASTI Negeri Terengganu, Ustaz Sulaiman Sulong mengharapkan dengan adanya pertandingan ini dalam tentatif HARAP 3.7 dapat menarik seramai mungkin pengunjung ke tapak program tersebut.
“Kebiasaannya kami mengadakan pertandingan ini dalam program khas. Namun kali ini PASTI cuba membawa kelainan dengan objektif mempromosikan PASTI kepada masyarakat.”


“Selain itu, kami juga berharap agar acara Alam Ria ini dapat menarik kehadiran pengunjung ke tapak HARAP 3.7.” Ujar Ustaz Sulaiman yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN Pengkalan Berangan.
Pertandingan tersebut dijadualkan pada hari Jumaat, 28hb Jun 2017 melibatkan 11 acara yang dipertandingkan. Ianya termasuklah pertandingan pidato, azan, nasyid, kalam jamae dan hafazan yang melibatkan hampir 200 orang peserta.
“Pertandingan ini melibat 3 pentas yang telah kami putuskan dalam kawasan tapak HARAP. Jadi kami mohon agar semua pengunjung dapat hadir pada hari Jumaat, 28 Jun bermula jam 8 pagi bagi memberi sokongan kepada anak-anak PASTI yang mengambil bahagian.” Tambah beliau lagi.
HARAP 3.7 kali ini akan diadakan di Kampung Pengkalang Atap, Batu Rakit merupakan edisi terakhir siri jelalah program HARAP kesemua daerah dalam Negeri Terengganu.




























