Husnul Khatimah Atau Su’ul Khatimah

1792

Setiap yang ada di atas muka bumi ini akan binasa. Termasuklah kekasih Allah rasulullah saw dan juga para musuh baginda. Dunia bersilih ganti. Dulu sihat sekarang sakit. Dulu miskin sekarang kaya dulu bujang sekarang berkeluarga.

Semua ini menunjukkan bahawa kita akan beransur-ansur bergerak kepada perubahan masa. Akhirnya kita akan mati. Jangan kita fikir kita tidak mati. Kita makan minum tidur bangun menghabiskan umur kita

Tapi adakah umur kita itu berbaloi kita habiskan dari muda sehingga tua? Adakah kita menghabiskannya kepada jalan Allah? Atau kita tidak tahu ke mana umur kita habis. Masa muda ketika tenaga kuat cergas ke mana hala hidup kita?

Sayangnya ramai yang habiskan umur muda secara sia-sia. Ketika tua sudah lemah, tidak kuat, ketika itu baharulah manusia mahu kembali kepada Allah, tapi sayang ramai yang terkapai-kapai. Masa muda ditekankan kepada mencari harta, kononnya tidak mahu miskin ketika tua, mahu menjamin kesihatan untuk pergi ke hospital-hospital terbaik. Mereka mencari duit sehingga sakit dan menggunakan duit itu untuk mengubati sakit. Bersungguh mencari harta sehingga tidak berjumpa dengan Allah

Bagaimana kita hendak menjawab di hadapan Allah? Bagaimana kita mendengar dan faham akan merebut lima perkara sebelum lima perkara, tetaplah hal itu terjadi kerana sememangnya perangai manusia mudah lupa untuk Allah, tetapi tidak pernah lupa untuk mencari dunia

Kita kasihan dan sentiasa teringat untuk mencari kekayaan kerana mahu memastikan anak-anak kita tidak miskin, hidup ‘terjamin’ selepas kita mati. Tapi berapa banyakkah persiapan yang kita buat untuk kita sendiri bagi menghadapi hidup di bawah tanah nanti? Sedangkan rezeki Allah itu sangat luas dan Dialah yang menjaganya. Tidaklah salah mencari kekayaan, tetapi jangan sampai lupa kepada Allah.

Allah akan bertanyakan kepada kita dari mana harta kita diambil dan ke mana ia dibelanjakan. Jika betul segala puncanya dan belanjanya alhamdulillah. Tapi jika salah satunya tidak betul, maka amat rugilah kita kerana berpenat-penat kita dengan mencari harta tetapi akhirnya tidak lepas hisabnya

Ada yang menjadi hamba kepada anak selama-lamanya. Ketika muda menjaga anak sampai tidak ada masa untuk belajar agama. Apabila tua pula sibuk menjaga anak kepada anak sehingga tiada masa untuk Allah. Apakah makna hidup kita sebegitu? Sentiasa beralasan untuk tidak ke majlis ilmu kerana anak cucu. Benarlah anak pinak itu adalah ujian. Malanglah jika kita gagal dalam ujian dengan anak.

Orang mukmin memandang dosa-dosa mereka, seperti bukit yang akan menghempas ke atas mereka. Berapa orang yang kebiasaan melakukan dosa kecil? Lalu mereka merasa seperti kebiasaan itu dan tidak lagi mahu bertaubat. Bukankah bukit yang besar berasal dari pasir dan batu kecil yang terkumpul? Inilah mungkin menjadi penyebab kepada mati dalam su’ul khatimah. Kerana dosa sudah tiada terkesan di hatinya.

***Kuliah Maghrib Ustaz Mohd Nor Hamzah Surau Pak Su Man Kubang Palas Bukit Payong 4 Mei 2017