BN Cuba Sisihkan Melayu Islam Jadi Penghuni Bandar

6548

Oleh : Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU – Projek ‘By-Pass’ Kuala Terengganu menghasilkan resolusi bahawa penduduk dihalang untuk naik taraf status tanah kampung kepada tanah bangunan.

Bagaimanapun, premis perniagaan terbabit di kawasan pengambilan tanah di Kampung Seberang Baroh dan Tok Kaya diberi lesen berniaga walaupun dikatakan mengikut Akta Kanun Tanah Negara 1960, pembinaan kedai di tanah tersebut tidak mengikut syarat yang dikehendaki.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersifat ‘double standard’ dalam hal ini kerana bersikap tidak adil kepada penduduk berkenaan.

Pampasan yang akan diberi berdasarkan status tanah tetapi kenapa lesen berniaga diberikan kepada mereka jika pembinaan kedai atas tanah terbabit tidak ikut syarat?

(Gambar – wartawan sedang menemubual penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk projek KT By-Pass)

Ada penduduk berusaha menaiktaraf status tanah sebelum ini tetapi dihalang berbuat demikian oleh pihak kerajaan.

Jika kerajaan itu benarkan penduduk menaiktaraf status tanah terbabit, sementara penduduk tidak berbuat demikian, yang perlu dipersalahkan ialah penduduk berkenaan.

Tetapi usaha penduduk dihalang oleh pihak kerajaan sekaligus hak untuk menerima pampasan tanah sewajarnya perlu dipertikaikan.

Kira-kira 40 penduduk yang terbabit dengan pengambilan tanah itu telah membuat bantahan kerana pampasan tanah yang akan diberikan kepada penduduk terlalu rendah dan membebankan penduduk berkenaan.

Kes ini akan dibicarakan di mahkamah tidak lama lagi.

Sementara itu, Kerajaan BN juga tidak prihatin terhadap nasib penduduk Melayu Islam dan sengaja menjadikan mereka terpinggir seolah-olah ada perancangan untuk menghalau mereka dari menjadi penghuni bandar.

Penduduk kawasan Kuala Ibai yang ingin ke Durian Burung dikatakan bakal mengurangkan masa perjalanan mereka di waktu puncak dari 30 minit kepada 10 minit.

Jajaran projek ‘bypass’ Kuala Trengganu ini bermula dari Simpang Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bahru – Kuala Trengganu.

Projek bermula dari Julai 2016 dan dijangka siap pada Januari 2019 (dua tahun setengah).

Kemajuan fizikal projek sekarang ialah 18.04 peratus, iaitu 1.03 peratus lebih awal dari jadual.

Kos projek ialah RM321 juta – RM154 juta ialah kos pengambilan tanah sementara RM167 juta ialah kos pembinaan.

‘Bypass’ Kuala Trengganu akan mempunyai empat lorong sepanjang 5.9 kilometer mengikut piawaian U5, empat jejambat dan dua terowong untuk laluan bawah (Vehicular Box Culvert).

Ia akan digunakan oleh 70,000 orang penduduk, terutama di kawasan Bandar Baru Bukit Besar.

Sebanyak 293 lot tanah persendirian terlibat di dalam projek ini dan 271 lot telah diambil alih.

Baki 22 lot sedang menunggu pelan tambahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Difahamkan, kesemua lot tanah yang diambil akan dibayar pampasan dan dipastikan tidak ada sebarang isu penindasan.

Ia dikatakan proses normal dalam mana-mana kerajaan di dunia ini demi kebaikan seluruh rakyat.

Bagaimanapun rakyat tidak mahu melihat kerajaan bersikap ‘double standard’ dalam menyelesaikan kes pengambilan balik tanah untuk projek ini.

(Gambar dari udara kawasan akan diambil alih kerajaan untuk Projek ‘Bypass’ Kuala Terengganu)