PRU-14: Mesti Menang Di Besut Untuk Perintah Semula Terengganu

4949

Oleh : Suhaimi Taib

BESUT: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, untuk memerintah semula Terengganu, PAS mesti memenangi semula kawasan Besut dalam Pilihan raya Umum ke 14 (PRU 14).

Katanya, PAS pernah memenangi Besut termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kampung Raja ketika memerintah Terengganu tahun 1959 dan tahun 1999.

Bagaimanapun katanya, pada tahun 1961 dan Tahun 2004, PAS kalah di Terengganu termasuk Kawasan Besut.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Harap 3.5 di Kampung Raja, di sini pada Sabtu.

 

Turut hadir, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd. Nor Hamzah, Artis terkenal dari Kelantan, Bob Lukman dan Artis Popular dari Indonesia, Irwan Shah.

Justeru itu, beliau mengarahkan PAS Kawasan Besut melipatgandakan usaha mengajak penduduk Besut mengundi parti itu dalam PRU 14 nanti.

“Kita (PAS) kena ajak orang Umno dan orang atas pagar supaya mengundi PAS, mereka tidak seperti dahulu lagi,” jelasnya.

Menurut beliau, orang Umno hari ini sudah boleh terima hukum Islam termasuk hukum hudud, qisas dan takzir.

“Tidak kedengaran lagi orang Umno dan atas pagar menghina undang-undang Islam, seperti menyebut, jika laksana hukum hudud, habis semua kudung tangan, cuma tinggal beberapa orang sahaja lagi. Itupun ada pengikutnya,” ujarnya.

Beliau yang juga Naib Ketua Persatuan Ulama Sedunia berkata, yang menjadi pengikut mereka berkenaan, termasuk orang yang keluar dari PAS.

Sementara itu, PAS juga mengalami pasang surut dalam perjuangan apabila ada masa PAS menang dalam pilihan raya umum dan ada masa parti itu mengalami kekalahan.

Katanya, PAS pernah kalah di Kelantan tahun 1979 dan menang sekaligus memerintah Kelantan pada tahun 1990.

Di Kelantan, PAS pernah menang satu kerusi Dun sahaja tetapi PAS tetap tidak berganjak dari perjuangannya.

“Begitu juga di Terengganu PAS pernah memerintah negeri itu, tahun 1959 kemudian kalah tahun 1961, menang semula tahun 1999 selepas itu kalah semula tahun 2004,” ujarnya lagi.