Kerajaan Gagal Kekang Hakisan!

4018

KUALA NERUS – Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr. Khairuddin Aman Razali menyifatkan usaha kerajaan mengekang hakisan yang bermula di pantai Kampung Tok Jembal sejak lima tahun lalu, gagal.

Beliau berkata, kaedah ‘menambak’ batu di pantai yang terhakis oleh badai, bukanlah satu jalan penyelesaian jangka panjang.

“kerajaan gagal mengawal hakisan sejak tahun 2012 mula melanda ekoran pemanjangan landasan lapangan terbang Sultan Mahmud,

“sudah lima tahun tambakan batu tidak menyelesaikan masalah jangka panjang, ia merebak dari Tok Jembal sehingga hari ini di Mengebang Telipot,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media pada sidang khusus, di wakaf nelayan Kampung Kolam yang hampir runtuh pagi ini, Isnin 13 Februari.

Turut sama adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Utaz Hishamuddin Abd. Karim.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS itu, sebanyak RM150 juta dibelanjakan kerajaan, namun hakisan pantai itu tidak berkesudahan.

Oleh itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato’ Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi mengemukakan laporan dan memberikan cadangan penyelesaian jangka panjang.

“In shaa Allah……saya sudah buat temu janji dengan Menteri (dan) saya harap dapat berjumpa pada minggu hadapan,

“saya dan YB Hishamuddin (ADUN Tepoh) akan menyampaikan satu memorandum,”tegas beliau.

Sehubungan itu, Ustaz Hishamuddin yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu menggesa kerajaan negeri bekerjasama dengan persekutuan bagi menyelesaikan masalah ini dengan segera.

“kita dapat maklumat, peruntukan telah diluluskan, tapi belum ada tindakan……kita harap kerajaan kurangkan ‘birokrasi’ dan mengutamakan keperluan rakyat,”ujarnya.

Menurutnya, beliau sudah membuat pelbagai usaha, membawa perkara tersebut kepada pihak kerajaan dan kerajaan sudah mengetahui, namun masih belum ada penyelesaian.

Sementara itu, Dr. Khairuddin yakin, usaha penambakan pantai dengan pasir, bukan dengan batu akan berjaya mengurangkan risiko hakisan.

“tindakan sekarang untuk jangka pendek tambak batu……batu itulah penyebab hakisan semakin parah, apabila ombak menghentam batu,

“dia akan meningkatkan gelombang dan menghakis tanah pasir yang berikutnya……tapi berbeza dengan tambakan pasir, ia akan menyerap gelombang ombak,

“saya cadangkan supaya pantai ini ditambak dengan pasir, mungkin satu kilometer, pasir daripada laut,” kata beliau.

Pautan berita berkait hakisan ;

hakisan www.buletinonline.net