H355; 190 Buah Bas Dari Terengganu

11097

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 190 buah bas yang akan dipenuhi oleh ahli dan penyokong PAS Terengganu akan menghadiri Himpunan H355 di Padang Merbok Kuala Lumpur, Sabtu depan.

Timbalan Pesuruhjayanya Haji Yahaya Ali berkata, ia belum termasuk mereka yang akan pergi menaiki kenderaan persendirian, kereta dan motosikal.

“kita sedang membuat semakan dan persiapan untuk menghadiri H355, yang merupakan humpunan terbesar umat Islam di negara ini,

“ia merupakan himpunan maruah umat Islam,” jelas beliau.

Menurutnya, sehingga kini tidak ada lagi bas yang boleh disewa untuk pengangkutan para peserta, malainkan semuanya telah ditempah dan dibayar wang pendahuluan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusi mesyuarat terakhir mobilisasi H355 di sini petang Jumaat, 10 Februari.

Sehubungan itu, Pengarah Himpunan H355 bagi Kontinjen Negeri Terengganu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, semua peserta dari negeri ini diminta untuk berkumpul di sekitar pusat beli belah Sogo, pada jam 3.00 petang.

“kita minta semua peserta yang datang dari Terengganu agar berkumpul da Sogo pada 18hb Sabtu, jam 3.00 petang untuk mendengar taklimat dan arahan selanjutnya,

“selepas itu kita akan berjalan beramai-ramai dengan tertib dan disiplin dari situ, hingga ke Padang Merbok,”jelasnya.

Katanya, satu Jawatankuasa Bertindak bagi memantau pergerakan kenderaan dan peserta dari negeri Terengganu sudah dibentuk bagi memastikan kelancaran dan keselamatan, pergi dan pulang.

“in shaa Allah…….satu ‘task-force’ akan ditubuhkan yang akan dianggotai oleh Kelab Pacuan Empat Roda, para doktor dan petugas kesihatan, petugas Jabatan Amal, Beriged Muslimat dan lain-lain,

“bagi kita memantau perjalan para peserta supaya dalam keadaa selamat ketika pergi dan pulang dari menghadiri H355,”katanya.

Sebarang pertanyaan, kata beliau, boleh diajukan kepada beliau sendiri, di talian 019 – 989 4125.

Himpunan 355 (H355) adalah sebuah Sekretariat bertujuan membangkitkan kesedaran seluruh rakyat Malaysia ke arah membulatkan sokongan terhadap usaha memartabatkan Mahkamah Syariah dan melaksanakan Undang-Undang berlandaskan Syariat Islam.

Ia berikutan pembentangan Rang Undang-undang Persendirian oleh Ahli Parlimen Marang Dato’Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang juga Naib Ketua, Kesatuan Ulamak Islam Sedunia di Parlimen, pada bulan Mei tahun lalu.

Usaha tersebut adalah untuk meminda Akta 355 Mahkamah Syariah, bagi memperkasa dan memartabatkan Islam di negara ini.