SETIU – 80 orang kanak-kanak menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai untuk tahun yang ke-17 berturut-turut, anjuran PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena cuti persekolahan hujung tahun yang bermula pada Jumaat.
Pengarah Majlis Tindakan DUN tersebut, Dr. Azman Ibrahim berkata, ia mendapat sambutan yang meriah sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.
Malah, kata beliau, ia sudah menjadi sinonim dikalangan masyarakat setempat,yang serimg bertanyakan tentangnya.


“PAS Jabi sangat memahami serta bersimpati dengan desakan dan kesempitan hidup yang sedang dilalui oleh masyarakat kampung sekarang ini. Sedaya yang ada kita berusaha untuk bersama meringankan beban. Apatah lagi kos berkhatan di klinik-klinik swasta sekarang telah mencecah sehingga RM120,
“Program ini adalah program kemasyarakatan tanpa sebarang matlamat keuntungan. Untuk anak-anak yatim, kos berkhatan mereka ditanggung sepenuhnya oleh PAS Jabi tanpa apa-apa bayaran,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui meluangkan masa bersama ibu bapa dan anak-anak pada Program tersebut di Pusat Khidmat DUN Jabi, semalam Ahad 27 November.
Menurutnya, berkhatan bukan hanya tuntutan syariat tetapi juga tuntutan untuk kebersihan dan kesihatan bahkan masyarakat bukan Islam juga ramai yang melakukan amalan tersebut kerana menyedari akan kebaikan dan faedahnya.
Katanya, program yang dianjurkan itu sejajar dengan perkembangan ilmu kesihatan.
“program ini memanfaatkan sepenuhnya kaedah berkhatan cara moden yang mudah, cepat, tidak menyakitkan dan tempoh penyembuhan yang lebih singkat beserta risiko komplikasi yang rendah,”jelas beliau.
Program yang bermula dari jam 8.00 pagi itu, selesai sepenuhnya menjelang tengah hari.





























