‘Kemahuan Politik’ (Political Will) Boleh Perbaiki SPR – Mantan Pengerusi

912

PENGKALAN CHEPA – Ketiadaan “political will” oleh kerajaan, menyaksikan kelemahan-kelemahan dalam pengurusan Suruhanjaya Piliharaya (SPR) akan terus kekal dan sekaligus akan mengecilkan ruang demokrasi di Malaysia.

Demikian antara pandangan oleh bekas orang nombor satu SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman mengenai peranan SPR yang sentiasa menjadi kritikan bukan sahaja parti politik malahan juga rakyat jelata.

Beliau ditemui sejurus selesai Majlis Perasmian dan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar PAS ke-62 di Pusat Tarbiyyah Islam Kelantan (PUTIK) di sini, semalam.

Menurut beliau lagi, SPR sendiri sememangnya banyak yang perlu diperbaiki dan diberi kuasa kepada mereka sendiri bagi memberikan keadaan sama rata kepada parti-parti politik yang bertanding, sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara lain.

“SPR sendiri memang banyak yang perlu diperbaiki (ketawa), tetapi semuanya bergantung kepada “political will” (kehendak politik) kehendak pemerintah.

SPR tak boleh bertindak sendiri, dia hanya jalankan tugas mengikut undang-undang yang ada. Undang-undang SPR tak buat.

Itu bezanya negara ini dengan negara-negara maju yang lain, dimana SPR di negara-negara maju, dia berkuasa untuk mengubah keadaan, mengubah undang-undang, sini (Malaysia) tidak,” tegas beliau.

Beliau menjelaskan lagi, dasar-dasar yang memberikan kekuatan kepada asas demokrasi dalam pilihanraya di Malaysia perlu digubal kerana dasar-dasar yang ada telah terlalu lama, wujud sebelum merdeka lagi.

Tetapi tegas beliau, kerana kerajaan yang ada tidak mahu melakukan perubahan, maka SPR tidak akan dapat berubah.

“Jadi SPR itu sendiri perlu diubah, banyak benda yang perlu diubah, tapi terpulang kepada “political will”. Kalau pemerintah (BN) yang ada ni mahu ubah, banyak benda yang boleh diubahlah, tapi kalau dia tak mahu ubah, duk tang tu lah”

Yang kita ada sekarang ini, sejak tahun 55 lagi, sejak belum merdeka lagi. Tak banyak perubahan yang ada perubahan berbentuk administrative (pentadbiran), yang berbentuk dasar, tak ada. (Dasar) yang memperkuatkan unsur-unsur demokrasi dalam pilihanraya, tak berubah,” ujar beliau.

Mengulas tentang isi ucapan dasar, beliau memandang positif akan hasrat PAS yang mahu mengubah pendekatan berpolitik kepada kaedah politik matang dan sejahtera.

“Nampaknya ada perubahan paradigma kepada dasar parti, iaitu parti memberikan penekanan kepada perjuangannya yang tulin dan mempromosikan Islam sebagai ad-din dan mempromosikan Islam sebagai teras.

Lebih menekankan pendekatan yang berbeza sikit daripada dahulu, mahu bekerjasama dengan pihak-pihak yang lain, tetapi dalam masa yang sama, menerapkan nilai-nilai Islam, yang perlu mengikut PAS, diwujudkan dalam semua bidang kehidupan.

Itu satu approach (pendekatan) yang barulah, dia memerlukan kerjasama dan juga cara berdepan dengan musuh-musuh politik mereka dengan cara yang lebih berhemah.