Ibu Haji Wahid Meninggal Dunia

1555

KUALA TERENGGANU – Ibu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut iaitu Hajah Mazenah Abu Bakar, 77, meninggal dunia pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 3.15 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, akibat komplikasi buah pinggang, tekanan darah rendah, jantung serta jangkitan kuman di paru-parunya.

Dua hari sebelum itu allahyarham menerima rawatan di Hospital KTS sebelum dihantar ke HSNZ, bagi rawatan lanjutnya.

Abdul Wahid berkata allahyarham ibunya meninggal dunia di HSNZ disamping anak menantu dan ahli keluarga terdekatnya.
“Allahyarham ibu saya, Hajah Mazenah meninggal dunia lebih kurang jam 3.15 pagi di Hospital Kuala Terengganu setelah dua hari dimasukkan ke wad HSNZ.

“Beliau (ibu) pergi ketika saya, anak menantu dan ahli keluarga terdekat ada diampingnya dan kami sempat ajarnya mengucap dua kalimah syahadah. Semoga allahyarham (Mazenah) bersama dengan orang-orang yang soleh dan baik, Insya’Allah,” ujarnya.

Menurut Abdul Wahid, semasa hayat hidup allahyarham ibunya itu menjadi inspirasi dan dorongan kuat untuk berjuang dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kata beliau, kejayaannya dalam arena politik hingga menjadi wakil rakyat beberapa penggal di negeri ini kerana sokongan kuat seorang ibu.

Allahyarham Hajah Mazenah meninggalkan tujuh orang anak, 42 orang cucu serta 28 cicit pada usia warga emasnya itu.
Jenazah allahyarhamah akan disembahyangkan di rumah asalnya Lorong 5, Kampung Pulau Kambing dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Rusa, Kuala Terengganu.