Mat Motor Bukan Mat Rempit

3116

Oleh : Ahmad Fadhli Shaari

Kedua-duanya bukanlah istilah rasmi Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun ia tetap merupakan terma yang dirujuk oleh masyarakat. Pekin Ibrahim membawanya ke layar perak melalui tajuk ini yang difilemkan. Ada kawan-kawan lantas menyarankan saya untuk menontonnya dan sekurang-kurangnya menulis seperanggan dua ulasan.

Saya ucapkan tahniah kepada Pekin. Sudah tentu tiada yang sempurna, namun hasrat mengangkat nilai moral melalui filem permotoran seperti ini satu perkara yang boleh dipuji. Sudah tentu kita tidak boleh menjangkakan kesan khas seperti Fast And Furious atau sekurang-kurangnya seperti filem Melayu yang agak meletup seperti Kl Gangster dan terbaru, Polis Evo, namun setidak-tidaknya percubaan anak kelahiran Kelantan ini satu langkah yang sangat baik. Wataknya pun jauh beebeza berbanding dengan watak jahat ketika kali pertama saya menonton lakonannya di dalam filem Bunohan.

ARC 2014Berlakon dan mengarah di dalam masa yang sama untuk sesuatu filem bukanlah satu kerja yang mudah sekalipun ia bukan sesuatu yang baru dan ganjil. Di dalam filem ini, Mat Moto digambarkan sebagai kelompok yang berminat dengan permotoran namun tetap menjaga batasan akhlak dan moral. Sebagaimana petikan dialog Shamsul Yusoff, “dalam hati ada masjid..”

Tema yang diangkat cukup mudah dan ringkas. Pencarian topi-topi keledar istimewa sebagai satu dedikasi untuk arwah sahabatnya mengangkat tema persahabatan yang cukup tinggi. Pekin menggambarkan dirinya sebagai Ai yang mengutamakan nilai persahabatan sehingga mengembara ke seluruh negara demi mencari topi-topi keldear yang diidamkan oleh allahyarham sahabatnya, Spark. Pengembaraan bermotor ke Terengganu, Kelantan (lebih tepatnya, Tesco Kota Bharu), Melaka dan lain-lain dengan dibantu oleh otai-otai istimewa di setiap lokasi sangat hidup dan secara tidak langsung memperkenalkan lokasi kepada penonton. Seronok melihat tebing Sungai Kelantan yang difilemkan walaupun sedikit ralat dengan aksi lakonan kelompok motosikal yang digambar berlaku di Lembah Sireh, Kota Bharu.

Secara peribadi saya lebih gembira jika filem ini lebih bersifat mesra syariat. David Teo lebih berjaya membuktikannya melalui filem “Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang”. Pengembaraan berdua-duaan di antara Ai dan budak praktikalnya, Sikha tentulah sesuatu yang agak tidak syarie. Namun, barangkali itulah realiti dunia yang ingin diangkat oleh Pekin. Sekurang-kurangnya, singgah bersolat di masjid itu membawa tema bahawa Mat Moto tidak semestinya leka dari menunaikan kewajipan.

ARC 2014aPemuda PAS dalam hal ini mempunyai pasukan Alternative Riding Club (ARC). ARC hari ini dianggotai oleh ratusan anak muda yang berminat dengan aktiviti permotoran. Sudah tentu, elemen solat tidak lagi merupakan satu perbincangan kerana ia menjadi kewajipan umum seorang muslim. ‘Riding’, kemudiannya singgah berusrah dan bersilaturrahim menjadi tajuk utama ARC dan sangat molek jika ia difilemkan sebagai membuktikan kesungguhan Pemuda PAS menjuarai minat anak muda.

Hari ini, sebut sahaja di mana minat orang muda ; berbasikal, kereta antik, seni dan sebagainya, pasti di sana ada terselit usaha Pemuda PAS melangkah serapat mungkin untuk mendekati dan menyelami dunia mereka.

Apapun, tahniah kepada Pekin. Mesej yang jelas melalui filem yang ringan dan santai. Selepas ini mungkin produser filem boleh berfikir untuk menerbitkan filem mesra syariat sehebat filem Indonesia, The Raid Redemption.

Bagaimana caranya, fikirlah. Saya bukan orang filem.

***Ustaz Ahmad Fadhli Shaari ialah Ketua Pemuda PAS Kelantan
17 Februari 2016