Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN – Dewan Muslimat PAS Terengganu yakin peluang calon PAS yang akan bertanding di kerusi N20 Sadong Jaya cerah, apabila kunjungan pasukan tinjauan ke DUN terbabit mendapat sambutan dari penduduk setempat.
Ahli Jawatankuasanya, Puan Khairiah Mokhti berkata kehadiran beliau bersama rombongan PAS Kawasan Dungun telah disambut mesra oleh para penduduk di sana.


“rombongan kami dibahagi kepada 2 kumpulan, sambil ziarah, kami beri sumbangan dan edar buah limau kepada pengundi Cina di Batang Sadong, penerimaan mereka sangat terbuka dan mengenali PAS.”ujarnya ketika dihubungi.
Menurutnya, rombongan yang memulakan tinjauan pada 28 Januari dianggotai oleh Sembilan orang pemimpin PAS Kawasan Dungun termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura dan Rantau Abang, Cikgu Wan Hapandi Wan Nik dan Cikgu Alias Harun.
Turut sama adalah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat Terengganu Puan Serena Lim Abdullah.


Katanya, kesempatan sempena hampirnya sambutan Tahun Baru memudahkan beliau bertemu dan bermesra dengan kaum Cina.
“saya menemui kaum Cina yang dianggarkan 300 orang, tapi yang mengundi di situ hanya seratus lebih sahaja,
“Kebetulan musim perayaan Tahun Baru Cina, kami mengambil kesempatan mengucapkan selamat dan kami gembira kerana ada ang membalas pemberian kami dengan buah-buahan dari kebun mereka,”jelasnya.
Bahkan katanya, ada penduduk yang diziarahi menghadiahkan air kotak kerana melihat rombongan tersebut.
“tak kurang juga yang mengajak kami masuk ke dalam rumah dan mahu menjamu kami, yang lucunya ada yang tarik tangan saya tak benarkan saya balik,”katanya.


Walaupun pilihan raya kali ke-11 negeri Sarawak dijangka berlangsung dalam masa dua bulan lagi, namun kenyataan Adenan telah mula memanaskan suasana politik ‘bumi kenyalang’.
Parti yang memerintah telah mula menggerakkan jenteranya apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dato’ Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Adenan.
PAS pula telah mengisytiharkan akan bertanding pada 11 kerusi apabila Ketua Pengarah Pilihan Rayanya Dato’ Mustafa Ali mengumumkan demikian pada satu sidang media minggu lalu.




























