Kenaikan Harga Barang; Sosio-Ekonomi Wanita Perlu Dibantu Segera

1172

Oleh : Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU – Golongan wanita sinonim dengan perbelanjaan harian, dan mereka adalah antara kelompok yang paling terkesan ekoran peningkatan harga barangan.

Keperluan harian yang meningkat setiap tahun, menambahkan lagi beban kos sara hidup terutama kepada yang berpendapatan rendah.

Tinjauan Lajnah Penerangan dan Hubungan Media dapat melihat lebih dekat kedudukan sosio- ekonomi wanita masa kini di Pasar Chabang Tiga Kuala Terengganu.

Seorang suri rumah yang juga peniaga kedai makan berkata, pendapatannys merosot sejak dua tahun kebelakangan ini.

“pendapatan merosot sedang harga barang semakin mahal dan meningkat, semasa di Pasar lama pendapatan sehari dalam RM800 tetapi sekarang untuk dapat sehari RM300 pun susah,

IMG_20151111_083254“masyarakat seakan begitu berhemat dalam berbelanja,” ujar Puan Norsham bt Kamarudin, 52, yang sudah menjalankan perniagaan lebih 20 tahun.

Keluhan beliau di kongsi oleh seorang peniaga ayam yang juga seorang suri rumah berusia 55 tahun.

“jualan sekarang amat menurun, pendapatan sudah tak cukup makan bahkan selalu sahaja menanggung kerugian,
“peniaga kecil macam saya ini cukup terkesan dengan ekonomi sekarang yang semuanya mahal,

“di tambah dengan GST pembeli seakan takut,” kata Puan Nik Maznah bt Nik Ku yang berasal dari Kampung Kubang Parit yang berniaga di pasar Chabang Tiga.

Dari perolehan perniagaannya, Nik Maznah masih menjadi tempat bergantung kepada seorang anaknya yang berstatus ibu tunggal.

Manakala seorang peniaga laksa dan mee kuning menjelaskan, beliau tidak ada pilihan kecuali menaikkan harga barangan juakannya,

“kita terpaksa naikkan harga dan tanggung risiko pelanggan lari kerana kita sendiri membeli dengan harga mahal,” kata Puan Roslina Daud, 46, yang telah berniaga lebih sepuluh tahun.

Isu sosio ekonomi wanita kini tidak boleh dipandang remeh dan kerajaan mestilah mengambil satu tindakan segera dalam membantu meringankan beban mereka.