Oleh : ZulShawal
HULU TERENGGANU – Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah mengesa seluruh rakyat Terengganu khususnya para pemuda bersama menderma darah bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan darah yang serius di negeri ini.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman FB rasmi mereka pada 27 Julai 2015 telah memuat turun keratan surat khabar yang bertajuk ‘Bekalan Darah Terengganu Kritikal’. Pemuda Pas Terengganu memandang serius permasalahan ini, hingga dikhabar terdapat kesulitan bagi pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu menjalankan pembedahan kerana kekurangan bekalan darah dalam simpanan mereka.


“Oleh yang demikian, kami daripada Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu menyeru seluruh warga Negeri Terengganu yang mempunyai kesihatan yang baik terutamanya anak muda supaya turun menyahut seruan untuk sama-sama membantu insan yang sedang berperang dan bersabung nyawa dengan kesakitan yang ditanggung,” ujar Ustaz Kamaruzzaman.
“Mudah-mudahan, Insyaallah darah yang kita dermakan, kita dapat membantu kepada sahabat-sahabat yang memerlukan, ini memberi satu nafas baru kepada mereka untuk menjalani kehidupan.
Menurut ketua Lajnah Kebajikan dan Prihatin Rakyat, Ustaz Ramlan Haji Mahmood, kempen Jom Derma Darah Pemuda Pas Negeri Terengganu akan dimulakan dalam masa terdekat. Kempen tersebut akan dilakukan di lapan kawasan parlimen seluruh Negeri Terengganu dengan kerjasama pihak kesihatan di hospital kawasan parlimen masing-masing. Program “Jom derma darah” dan kempen bergerak jua akan terus diperkenalkan bagi memberi kesedaran pada masyarakat terutamanya golongan muda agar bersama-sama mengambil bahagian menderma darah mereka.
Tonton “JOM DERMA DARAH” di YouTube – https://youtu.be/ghpinZrDDJw




























