PRINSIP PERJUANGAN PRASYARAT KEMENANGAN
Prasyarat Kedua; Ketaatan Kepada Nakhoda Perjuangan
Keutuhan sebuah organisasi bergantung kepada ketaatan ahli kepada penerajunya. Begitulah juga gerakan Islam akan gagah memacu kemenangan di saat ahli dan pemimpinnya memberikan sepenuh keyakinan dan kepercayaan serta ketaatan kepada Nakhoda penerajunya.
Kerana itu Nabi saw melakukan Baiah kepimpinan dan ketaatan dengan penduduk Yathrib yang bakal menjadi pembantu Rasulullah saw untuk menegakkan Negara Islam Madinah. Ia diceritakan oleh Ubadah bin Samit dalam hadis riwayat Bukhari:
: بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ ، فِي الْيُسْرِ وَالْعُسْرِ ، وَالْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ ، وَ أَلَّا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ ، وَأَنْ نَقُولَ أَوْ نَقُومَ بِالْحَقِّ حَيْثُمَا كُنَّا لَا نَخَافُ فِي اللَّهِ لَوْمَةَ لَائِمٍ
“Kami baiah kesetiaan kepada Rasulullah saw untuk mendengar dan juga taat ketika sukar dan senang ketika cergas dan keterpaksaan, dalam keadaan kami mempertikaikan arahan kepimpinan bagi yang layak (dengan melakukan keadilan) dan agar kami menyatakan kebenaran di mana sahaja kami berada tanpa takut kepada celaan orang yang mencela.”
Menurut Ulamak, ketaatan ketika senang dan cergas bermaksud di saat mana arahan ketua selari dengan kehendak orang bawahan. Tetapi keadaan sukar dan keterpaksaan ialah apabila apa yang dikehendaki oleh ketua tidak selari dengan kehendak orang bawahan.
Maksudnya ketika bercanggah pandangan orang-orang bawahan akan terdorong untuk menentang dan mengabaikan arahan malah mempertikaikannya. Namun, baiah mengajar orang bawahan untuk mentaati arahan selagi ianya tidak bercanggah dengan kehendak Allah dan juga Rasulnya.
Di saat hilangnya ketaatan lalu nakhoda sendiri dikecam dan dipertikaikan, dibiarkan untuk dicemuh oleh musuh dan rakan kerjasama politik maka organisasi menjadi lemah. Kejayaan menjadi kabur.
Untuk itu pembaharuan kepimpinan perlu dilakukan. Muktamar Agong PAS kali ini memberi ruang untuk memperbaharui mandat kepimpinan menerusi proses pemilihan baru. Perbaharuilah mandat kepimpinan yang boleh bergerak bersama nakhoda bahtera ke arah memacu kejayaan yang sebenar dalam perjuangan bukannya kemenangan palsu yang hanya dihiasi dengan impian dan harapan yang seumpama kaca.
Akhiran ini kita melihat Presiden PAS selaku nakhoda bahtera Parti Islam Semalaysia PAS dicemuh oleh rakan kerjasama politik. Puncanya kerana mereka gagal untuk memastikan kepimpinan tertinggi parti tunduk terhadap kemahuan dan kehendak mereka. Sangat malang apabila ada kalangan ahli dan pimpinan yang bersekongkol mengiyakan tohmahan rakan kerjasama politik lalu menjadi duri dalam daging melemahkan bahtera yang sedang belayar.



























