Semalam, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (Public Accounts Committee, PAC) yang dipengerusikan oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed telah mengumumkan bahawa program usahasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu 1Azam adalah bermasalah dan terdapat banyak kelemahan dalam pelaksanaannya.
2. Beberapa penemuan oleh PAC seperti mendapati pemilihan peserta tidak dibuat menerusi sistem eKasih yang menyebabkan peserta terpilih bukan dalam kalangan kumpulan sasar. Selain itu, justifikasi kepada pemilihan pembekal barangan tidak dibuat dan peralatan tidak dimanfaatkan peserta, wujud peserta yang tidak dapat dikesan, peraturan perolehan tidak digunakan dalam memilih pembekal barangan kepada peserta dan terdapat projek yang gagal. Dengan pelbagai masalah dan kelemahan ini bolehlah saya sifatkan ia sebagai gagal.
3. Program yang asalnya bertujuan untuk membantu belia yang miskin dan miskin tegar untuk memperoleh kemahiran hidup dan galakan keusahawanan terbukti tidak berkesan langsung untuk mengeluarkan para belia daripada kemiskinan. Perkara ini disahkan sendiri apabila mendapati hanya 49.82% sahaja daripada 265 peserta yang ditemubual mengaku bahawa pendapatan isi rumah mereka meningkat melebihi RM300 setelah menyertai program 1Azam. Selebihnya tidak mengakui sedemikian.
4. Apa yang pasti, peruntukan sebanyak RM1.3 bilion untuk skim ini telah dibazirkan oleh Kerajaan. Inilah norma salah urus tadbir yang berlaku dalam Kerajaan sehingga menyebabkan berlaku pembaziran dan ketirisan wang rakyat. Sudahlah wang diambil oleh Kerajaan, rakyat pula terus menjadi mangsa kemiskinan kerana sikap Kerajaan yang tidak berhemah dan cermat dalam menjalankan tugas terhadap rakyat.
5. Dengan pendapatan yang tidak bertambah dan kos sara hidup yang semakin tinggi, yang miskin akan menjadi miskin tegar dan yang miskin tegar akan menjadi papa kedana. Bukan setakat itu sahaja, ia juga pasti akan memberi kesan langsung kepada kemerosotan produksi negara dan peningkatan kejadian jenayah dalam masyarakat.
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

























