KEMAMAN – Banjir besar yang sedang melanda kebanyakan negeri ketika ini terhasil dari banyaknya taburan hujan musim tengkujoh dan tiupan angin monsun.
Menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ia adalah ‘sunnatullah’ ke atas alam ini sebagaimana firman-Nya:
“Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.” (al-Mukminun: 18)
Demikian itu, katanya, kita perlu mengimani, bahawa situasi yang sedang berlaku ini adalah dengan Pengetahuan dan Kekuasaan-Nya.
“Allah sedang menguji kita dengan curahan bermanfaat berupa rahmat dan rezeki. Dia juga sedang menguji keutuhan iman kita dengan melandakan sedikit kesukaran yang pasti Dia akhiri tempoh ini.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas melawat kawasan terjejas banjir di daerah Kemaman, Chukai pada Rabu 24 Disember.
Oleh itu, katanya, PAS merakamkan simpati terhadap situasi yang sedang dihadapi kebanyakan penduduk di daerah banjir.
“Situasi sukar bersifat sementara yang menguji kemampuan ini wajib dihadapi dengan sabar. Dalam menghadapi pelbagai situasi tidak terduga ini,
“PAS menasihati untuk saling tolong-menolong dan cakna antara satu sama lain serta mengikuti arahan pihak berkuasa,”jelasnya.
Justeru beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, menyeru agar jentera PAS di semua peringkat sedang digerakkan bagi menghulur bantuan sedaya termampu dan menyeru petugas jabatan dan agensi kerajaan berkhidmat dengan penuh amanah.
“PAS juga dengan ini mengarahkan seluruh jenteranya untuk meneliti keperluan munasabah kepada mangsa banjir dan memberi khidmat dengan ikhlas serta kesantunan berhemah.
“Kepada seluruh petugas dari badan dan agensi kerajaan, PAS meminta agar urusan bantuan dilaksanakan dengan penuh amanah dan adil tanpa menghitung latar belakang politik. Insya-Allah, dedikasi anda akan dihitung pahala serta bakal beroleh ganjaran di sisi Allah kelak.
Kepada Kerajaan Persekutuan, beliau mengesyorkan agar diumumkan peruntukan khas bagi setiap keluarga dan individu mangsa banjir khususnya para pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.


























