Mahmud Abbas ‘Naik Gila’; Mesyuarat Menteri Luar Arab Terpaksa Diadakan Tertutup

815

Menteri-menteri luar Arab, terpaksa mengadakan mesyuarat mereka secara tertutup, apabila Presiden Pihak Berkuasa Palestin Mahmud Abbas ‘naik gila’ dan melancarkan kecaman kritikan terhadap Hamas.

Pada mulanya, pihak media dibenarkan untuk membuat liputan mesyuarat menteri-menteri luar Arab, yang diadakan di ibu pejabat Liga Arab di Kaherah.

Selang beberapa ketika, Menteri Luar Mauritania Ahmad Ould Tekdi, yang mempengerusikan sesi semasa mesyuarat itu, terpaksa meminta media meninggalkan dewan selepas Mahmud Abbas secara terbuka mengkritik Hamas.

Sebelum mesyuarat beralih kepada sesi tertutup itu, Mahmud Abbas menuduh Hamas meranpas kuasa di Semenanjung Gaza.

Perhubungan menjadi tegang antara Hamas dan Mahmud Abbas, yang mengetuai pergerakan Fatah saingan, sejak beberapa hari lalu walaupun kedua-dua pergerakan Palestin itu telah membentuk kerajaan perpaduan pada bulan Jun lalu.

Sehari sebelumnya, Mahmud Abbas memberitahu pemberita Mesir di Kaherah lewat pada hari Sabtu bahawa perlu ada satu kerajaan di semua wilayah Palestin.

“Kami (Fatah) tidak akan menerima keadaan dengan Hamas untuk terus sebagaimana sekarang,” kata Abbas.

Beliau menuduh Hamas membentuk sebuah kerajaan bayangan yang menguruskan hal ehwal Semenanjung Gaza dan mendakwa bahawa kerajaan perpaduan kebangsaan baru-baru ini ditubuhkan tidak mempunyai apa-apa kuasa di dalam wilayah pantai itu.

Abbas juga mendakwa bahawa hanya 50 ahli Hamas terbunuh dalam serangan Israel yang baru berakhir ke atas Semenanjung Gaza, manakala 861 anggota pergerakan Fatah, kata beliau, telah terbunuh semasa perang.

Dalam pada itu, Hamas telah menyeru Mahmud Abbas supaya menghentikan tindakan menangani masalah melalui media tetapi sebaliknya membuka pintu untuk dialog dan persefahaman.

Hamas berkata, ahli pergerakan Fatah telah mencemarkan dan memburukkan Imej Hamas di Tebing Barat, terutamanya selepas Hamas mengisytiharkan “kemenangan” ke atas Israel dalam pertarungan terakhir di Gaza.

Hamas dan Fatah menandatangani perjanjian perdamaian pada bulan April, membawa kedua-dua pergerakan rakyat Palestin itu duduk semeja, selepas renggang berterusan sejak 2007 berakhir.

Perjanjian itu membuka pintu untuk pembentukan kerajaan perpaduan nasional dua bulan kemudian.