Sidang DUN – Gagal Pemerkan Demokrasi Sebenar

856

Suasana perbahasan masih hambar kerana kurang penglibatan dari kalangan wakil-wakil rakyat Umno/BN mengambil bahagian masing-masing.
Peluang ‘keemasan’ tersebut diambil kesempatan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS mengemukakan soalan lisan serta perbahasannya.

Namun begitu, banyak soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh Adun PAS ditolak oleh pihak kerajaan dengan menggunakan Peraturan-peratutan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

Berikut adalah soalan-soalan lisan dari Adun Rhu Rendang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menurut Perkara 26(4A)(a), 26(6) dan 26(2)(c).

Pertama, Sila nyatakan keluasan tanah kerajaan negeri yang telah diluluskan kepada syarikat, agensi kerajaan atau badan berkanun untuk tujuan pertanian dari tahun 2005 hingga 2009 serta nama-nama agensi dan syarikat terbabit dan lokasi tanah yang diluluskan.

Kedua, berapakah jumlah premis perniagaan yang diwujudkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di seluruh negeri Terengganu mengikut pecahan daerah-daerah dari tahun 2005 hingga 2010.

Ketiga, berapa ramaikah jumlah pelajar yang tidak tahu membaca dan menulis di negeri Terengganu setelah tamat pendidikan sekolah rendah bagi setiap tahun dari tahun 2005 hingga 2009.

Dan keempat, nyatakan jajaran projek keretapi ‘double track’ yang akan dilaksanakan di negeri Terengganu dan berakah kos yang terlibat serta kontraktor yang telah dipilih.

Soalan lisan yang dikemukakan oleh Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi juga ditolak menurut Perkara 26(4) Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Soalannya, berapakah jumlah royalti minyak yang diperolehi oleh kerajaan negeri Terengganu bagi tahun 2001 hingga 2009 dan senaraikan jumlah wang royalti minyak yang digunakan bagi menampung projek Kerajaan Persekutuan.

Soalan dari Adun Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli juga ditolak menurut Perkara 26(4A)(a) Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dun Terengganu.

Soalannya, nyatakan nama-nama projek yang telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Dungun, sejak diistiharkan sebagai sebuah Majlis Perbandaran dan berapakah jumlah kos setiap projek tersebut serta nyatakan projek-projek yang masih belum disiapkan.

Manakala, dua soalan Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak ditolak menurut Perkara 26(4), 26(4A)(a) dan 26(2)(c) Peraturan dan Perintah Tetap Dun Terengganu.

Pertama, nyatakan berapakah kos pembinaan tambahan 2000 buah sangkar ternakan ikan di Sungai Como, Tasik Kenyir.

Kedua, berapa ramaikah pelancong domestik dan antarabangsa yang hadir ke Pulau Duyong untuk menyaksikan perlumbaan perahu layar (Monsun Cup) pada tahun 2005, 2006, 2007, 2008 dan 2009.

Soalan-soalan lisan Adun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah turut ditolak menurut Perkara 26(4) dan 26(6) Peraturan dan Perintah Tetap Dun Terengganu.

Soalan pertamanya, Apakah kriteria utama yang melayakkan seseorang menerima dana remaja.

Dan kedua, Sila nyatakan jumlah tangkapan yang dibuat ke atas pengedar dadah dan nilai jumlah dadah yang dirampas mengikut daerah dari tahun 2005 hingga 2009.

Sementara itu, kelincahan Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut di dewan berhujah serta mengemukakan soalan-soalan tambahan dan meminta penjelasan wakil kerajaan menggamatkan persidangan Dun kali ini.

Jawapan dari wakil kerajaan terutama Exco Kerajaan Negeri, Yahaya Khatib Mohammed yang dibuat sambil lewa, ‘lepas tangan’ dan tidak tepat mengundang pertengkaran mulut dengan Abdul Wahid (PAS_Batu Buruk).

Akhirnya, pembesar suara milik Adun PAS tersebut dengan sengaja diganggu dan kadang-kala ditutup bagi menyekat Abdul Wahid ‘bersuara’ di dewan tersebut.

Begitu juga dengan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said kadang-kala ‘naik angin’ dengan meninggikan suaranya apabila sering kali diasak pertanyaan bertubi-tubi oleh Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi ketika penggulungannya.

Perihal tersebut berlaku apabila Dato’ Ahmad Said gagal menjelaskan beberapa nama kontraktor dan ‘taukeh-taukeh’ Cina yang banyak mendapat projek kerajaan negeri hari ini.