KUALA TERENGGANU – Aktiviti perniagaan pasar malam di sini sedikit suram berikutan kebimbangan orang ramai mengenai kes keracunan makanan yang berlaku sejak minggu lalu.
Kebanyakan peniaga yang ditemui mengakui jualan mereka merudum sehingga 50 peratus dan mereka berharap situasi itu segera pulih kerana mereka hanya bergantung pendapatan pasar malam.
Peniaga ayam goreng, Mohd Asmadi Mohd Ghani, 35, berkata kebiasaannya beliau boleh mencatat jualan antara RM1,500 hingga RM2,000 setiap hari hasil jualan 100 kilogram ayam.
“Namun, sejak kes keracunan makanan itu Isnin lalu, jualan memang merosot kerana di pasar malam Chendering pada Selasa lalu, saya hanya mendapat jualan RM700 sahaja.
“Malam ini pun, jualan agak kurang kerana biasanya, saya tak berhenti menggoreng ayam namun sekarang hendak menjual yang sedia digoreng pun agak susah…tak rancak seperti sebelum ini,” katanya dipetik agensi Bernama dan menambah, beliau sudah berniaga pasar malam sejak tiga tahun lalu.
Peniaga kuih muih tradisional di pasar malam Kuala Ibai, Ahmad Razif Ghazali, 34, turut menerima tempias akibat kes keracunan makanan itu.
“Mungkin seminggu dua ini, orang ramai masih fobia untuk ke pasar malam…tapi saya berharap semua ini segera pulih kerana tak semua peniaga pasar malam mengabaikan kebersihan.
“Biasanya, kalau makanan tak habis, saya akan sedekahkan sahaja kepada peniaga-peniaga lain sebab tak mahu membazir dan saya tidak akan menjualnya semula keesokan hari kerana bimbang keselamatan pembeli,” katanya yang menjual tapai, laksa, mi rojak dan karipap.
Bagi Zulkaedah Alias, 44, pula jualan nasi goreng, maggi goreng, mihun goreng dan mi gorengnya masih laris seperti biasa kerana beliau sudah mempunyai pelanggan tetap.
“Menu yang saya jual inilah yang dikaitkan dengan kes keracunan makanan itu.
“Mungkin sudah biasa, jadi mereka tidak meragui kebersihan makanan yang dijual dan saya sendiri pun memang mengutamakan kebersihan,” katanya yang sudah berniaga selama 14 tahun dengan dibantu dua orang anaknya dan purata hasil jualannya RM500 sehari.



























