Kastam Perlu Jelaskan Kontrak Kepada MyEG

1218

Saya ingin merujuk laporan akhbar The Star bertarikh 14 Februari 2014 yang bertajuk, ‘MyEG lands Customs job’. Laporan berkenaan menyatakan MyEG Services Bhd telah dianugerahkan sebuah kontrak bernilai RM 180 juta daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk melaksanakan projek Customs Online Tax Reporting (Electronic Monitoring System – EMS) bermula 1 April ini.

MyEG Services Bhd telah mengumumkan pada bulan lepas bahawa mereka telah menyiapkan sebuah pilot project – Customs Service Tax monitoring system yang telah diperolehi oleh konsortium MyEG Integrated Networks Sdn Bhd. MyEG Services Bhd mempunyai saham minoriti bernilai 40% dalam konsortium berkenaan.

zaharuddin mohd Saya ingin meminta penjelasan daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia rentetan daripada pendedahan yang dibuat oleh akhbar The Edge Malaysia edisi 1003. Akhbar berkenaan mempersoalkan mengapa kontrak mewah ini diberikan kepada konsortium berkenaan kerana kredibiliti dua syarikat yang memiliki 60% saham daripada konsortium tersebut meragukan. Dua syarikat tersebut ialah Orca Capital Sdn Bhd (40%) dan Simple Solutions Technologies Sdn Bhd (20%).

Menurut laporan kewangan berakhir Jun 2013, Orca Capital Sdn Bhd tidak mempunyai hasil tetapi mempunyai RM 6.2 juta aset dan RM 4.3 juta liabiliti. Manakala, Simple Solutions Technologies tidak mendedahkan laporan kewangan mereka sejak 2008 dan hanya mempunyai modal berbayar berjumlah RM 4 sahaja.

Oleh yang demikian, saya memberikan tempoh masa dalam bulan Mac ini untuk mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum isu ini dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Ustaz Zaharuddin Muhammad
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia