Rumah Hilang, Alatan Musnah

855

Banjir luar biasa yang melanda daerah Kemaman sejak 3 Disember mengakibatkan tiga buah rumah di Kampung Air Putih hanyut dan beratus-ratus lagi rosak serta peralatan musnah dalam bah yang diumpamakan ‘tsunami’.

Seorang penduduk, Syukri Ahmad, 40, kehilangan rumah pusaka yang didiaminya sekeluarga akibat arus deras ketika banjir.

“Saya seakan tidak percaya apabila diberitahu bahawa rumah saya sudah hilang dibawa air banjir dan saya dimaklumkan mengenai perkara ini oleh seorang jiran saya.

“Setiap tahun memang berlaku banjir tapi kali ini paling dahsyat kerana dua buah lagi rumah penduduk lain turut musnah dibawa arus deras banjir,” jelasnya.

Namun, sebelum itu beliau sempat memindahkan isterinya yang sedang hamil lima bulan bersama tiga orang anak berusia lima hingga 13 tahun ke kawasan selamat.

Di Dun Chukai, seorang warga emas yang menjadi mangsa banjir, Puan Hattombe Md Ibrahim, 62, [Gambar bawah] dari Kampung Jaya Batu 2, Chukai juga mengalami kerugian besar.

Katanya, ketika hujan lebat dan air mula naik di kawasan lain beliau ditugaskan oleh pimpinan PAS cawangan agar menyediakan makan minum untuk para petugas penyelamat.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Kak Ton adalah salah seorang petugas pembantu di Pasti Mak Chili akhirnya turut menjadi mangsa banjir tersebut.

hatombe“Pada waktu hujan lebat, rumah Kak Ton belum dinaiki air lagi dan Kak Ton ditugaskan untuk menyediakan makan-minum petugas sukarelawan PAS.

“Selepas itu, bila balik rumah terkejut tengok air semakin naik dan Kak Ton tidak sempat untuk selamatkan barang-barang dalam rumah kecuali dokumen penting sahaja.

“Habis peralatan dalam rumah ditenggelami air dan Kak Ton tidak tahu untuk nilai berapa kerugian yang dialami ini,” ujarnya kepada Harakah ketika datang mengambil barangan keperluan di bilik operasi bantuan banjir PAS Kemaman.

Sehingga petang 9 Disember lalu, seramai 14,609 mangsa banjir masih berada di 41 buah pusat pemindahan di Kemaman, Dungun dan Marang.

Mengikut portal banjir kerajaan negeri, daerah Kemaman paling ramai mangsa banjir iaitu 13,335 orang yang membabitkan 2,852 keluarga di 37 pusat pemindahannya.