MARANG – [Lihat Video] Jabatan PASTI negeri Terengganu mengadakan kursus kepada guru-guru bermula semalam Sabtu 30 November hingga hari Selasa depan 3 Disember bertempat di Ma’ahad Darul Quran, Rusila dekat sini.
Pengarah PASTI negeri Ustaz Sulaiman Sulong berkata, kursus tersebut bertujuan meningkatkan tahap profesionalisma guru-guru PASTI di seluruh peringkat.
“Bermula pada hari ini seramai lebih kurang 120 orang guru akan menghadiri kursus yang dianjurkan oleh Jabatan PASTI Negeri Terengganu, mereka ini adalah guru-guru pasti di seluruh Terengganu,
“untuk meningkatkan tahap profesionalisma guru-guru PASTI di seluruh peringkat (dan) dalam usaha untuk memastikan PASTI ini bukan semata-mata pilihan utama masyarakat dari sudut kurikulumnya, (bahkan) dari sudut guru-guru yang memberi pengajaran,”ujarnya.


Katanya, kursus tersebut adalah penting kerana PASTI negeri Terengganu telah berkembang dan berlaku peningkatan pada kemasukkan pelajar baru PASTI setiap tahun.
Beliau berkata PASTI negeri Terengganu juga meletakkan KPI, 15 peratus bagi setiap PASTI dan 10 peratus bagi keseluruhan PASTI di Kawasaqn-kawasan pada tahun hadapan, berdasarkan sasaran yang ditetapkan oleh PASTI Malaysia.
“PASTI cawangan mesti berusaha sekurang-kurangnya untuk menambah lima belas peratus pelajar untuk tahun 2014 dan PASTI kawasan menambah sepuluh peratus pelajar,
“Jabatan PASTI Malaysia menetapkan negeri-negeri mesti meningkatkan, mesti mencapai tahap enam peratus peningkatan pelajar bagi tahun 2014,”jelasnya.
Manakala, sasaran pembukaan PASTi baru pada tahun depan, kata Sulaiman, adalah sekurang-kurang satu PASTI bagi setiap Kawasan Parlimen.
Beliau menjangkakan, jumlah PASTI di seluruh negeri Terengganu akan meningkat sekurang-kurangnya menjadi 200 buah, Daripada jumlah PASTI sebanyak 192 buah yang sedia ada.
“setiap PASTI kawasan mesti membuka satu PASTI baru di kawasan masing-masing dan terlupa untuk saya sebut, PASTI kawasaan Marang juga akan menambah bilangan PASTI daripada 36 buah kepada 37 untuk sesi pengajian 2014,”katanya.




























