KUALA NERUS – Himpunan Mujahidah 2.0 Dewan Muslimat PAS Kuala Nerus disifatkan sebagai berjaya mencapai matlamatnya apabila dapat menarik penyertaan hampir 1000 orang peserta.
Ketuanya Hajjah Jamilah Bt Yusof berkata, perjuangan PAS sebagai sbuah parti politik dan Gerakan Islam berada di landasan perjuangan yang lebih praktikal, berbanding dengan parti-parti lain yang berasaskan kaum sahaja.
Dalam PAS katanya, perjuangan digerakkan berdasarkan jamaah dan bukan perjuangan secara individu atau kerana tokoh-tokoh tertentu.
“Dalam jemaah (PAS), orang yang bekerja bersendirian tidak mampu menghadapi pelbagai cabaran diluar sana,
“(sebab itu dengan) perjuangan PAS, kita berada di landasan perjuangan yang lebih praktikal jika dibandingkan dengan perjuangan dari parti-parti yang lain,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menutup himpunan mujahidah 2.0 yang diadakan di Pusat Tarbiyah PAS Kuala Nerus, pada Sabtu 9 November.
Katanya, penderitaan dan kepayahan para muslimat terdahulu demi menyahut perintah Allah SWT telah menjadikan Islam terus relevan sehingga kini dan selamanya.
“Marilah kita berjuang Islam kerana menyahut perintah Allah atas dasar pengorbanan dan semangat juang yang tinggi yang mana sejarah telah membuktikan,
“bagaimana Siti Hajar bersama anaknya Ismail A.S ketika dihantar ke Mekah…….. mereka menghadapi berbagai penderitaan dan kepayahan demi menyahut perintah Allah SWT,”jelasnya.
Menurutnya, bandingan masa satu minit yang digunakan untuk beribadah, andaikata masa yang sama digunakan untuk berjuang dan berjaya menarik seseorang kepada perjuangan Islam, adalah lebih mahal nilaiannya, di sisi Allah SWT.
Beliau mengingatkan muslimat supaya mengikhlaskan niat dan amalan dalam perjuangan kerana sekiranya dua perkara tersebut ‘rosak’ akan melemahkan jihad dan perjuangan.
Justeru itu, beliau menyeru supaya muslimat memantapkan kerja dakwah dan politik dengan bantu membantu dan meletakkan kepentingan jamaah mengatasi segalanya.
“marilah kita mantapkan kerja -kerja jamaah dengan menanam sikap saling bekerjasama, bantu membantu dan meletakkan kerja -kerja jemaah mengatasi kerja – kerja yang lain,
“di samping itu juga, kita mesti faham dengan tanggungjawab yang diamanahkan serta menolak fahaman materialisme,”tegasnya.
Sehubungan itu, beliau melancarkan kutipan dana mujahidah 2.0, bagi kempen bagi menyiapkan pembinaan pusat tarbiyah pas kuala nerus yang sedang dalam pembinaan.
Sumbangan kewangan boleh disalurkan terus ke akaun Dana Pusat Tarbiyah PAS Kuala Nerus melalui akaun Bank Islam, No. Akaun 13017010811804










