Ameerah Selangor Belajar Pengalaman Pentadbiran Kerajaan PAS Terengganu

10
Ketua Ameerah Selangor, Tasneem Zainol

KUALA TERENGGANU – Pendekatan kerajaan PAS Terengganu mengutamakan kebajikan rakyat dan melaksanakan pembaharuan menjadi tarikan kepada Ameerah Selangor untuk dipelajari bagi memperkukuh gerak kerja politik di negeri itu.

Ketua Ameerah Selangor, Tasneem Zainol berkata, lawatan ke Darul Iman bertujuan mendapatkan panduan dan berkongsi pengalaman yang boleh disesuaikan dengan keadaan di Darul Ehsan.

Menurutnya, negeri ‘Serambi Madinah’ mempunyai pengalaman tersendiri dalam urus tadbirnya dengan kemenangan PAS di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain lapan kerusi Parlimen yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, walaupun PAS menguasai keseluruhan kerusi DUN Terengganu, aspek semak dan imbang masih perlu diberikan perhatian dalam pentadbiran.

“Kita nampak daripada sudut pemerintahan, pelaburan yang meningkat dan pelbagai pembaharuan yang dibuat.

“Jadi, kita mahu datang ke Terengganu untuk mengambil apa yang boleh dijadikan panduan bagi gerak kerja di Selangor, terutamanya untuk menang dalam pilihan raya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dalam satu kunjung hormat dan sesi Taujihat Tarbawi serta Ziarah Mahabbah AJK Ameerah Selangor ke sini, semalam.

Oleh itu beliau berkata, ‘nput’ mengenai kepentingan mengutamakan rakyat serta memahami keperluan masyarakat penting dalam merangka pendekatan politik.

“Pengalaman itu boleh dijadikan rujukan untuk menyesuaikan gerak kerja di Selangor yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan budaya serta penduduk daripada pelbagai negeri,” ujarnya..

Justeru, beliau berpendapat, usaha mendekati pengundi muda perlu mengambil kira perubahan corak komunikasi generasi terbabit supaya gerak kerja organisasi lebih berkesan dan mampu meluaskan jangkauan kepada kumpulan berbeza.

“Perbezaaan itu menjadi cabaran kepada organisasi berkenaan untuk memastikan lebih ramai pengundi disantuni, khususnya dalam kalangan wanita muda.

“Kalau zon kampung, status ziarah memang tinggi. Boleh dikatakan semua pengundi sudah disentuh oleh kita, sama ada Ameerah ataupun Dewan Muslimat sendiri.

“Tetapi bahagian bandar sentuhan kepada pengundi anak muda agak kurang sedikit,” katanya.

Oleh yang demikan, Tasneem menegaskan, cabaran itu perlu ditangani memandangkan Selangor mempunyai masyarakat daripada pelbagai kaum, budaya dan latar belakang, selain ramai penduduk yang berasal dari negeri lain.