Bukan Kejar Publisti, Pakaian DHPP Ikut Arahan Parti

2

KUALA TERENGGANU – Pemakaian pakaian tradisional putih oleh wakil Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dalam sebuah program Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 72 bukan bertujuan mencari publisiti atau menambah jumlah pengikut di media sosial, sebaliknya bagi mematuhi tema dan arahan yang telah ditetapkan oleh parti.

Ketua Urusan DHPP Kuala Terengganu, Alex Chan Foo Yew, berkata setiap peserta perlu menghormati keputusan parti termasuk ketetapan berkaitan tema pemakaian bagi sesuatu program rasmi.

Menurutnya, pemakaian tersebut dibuat berdasarkan arahan yang telah dimaklumkan melalui surat jemputan kepada peserta.

“Melayu memakai baju Melayu, manakala DHPP memakai pakaian tradisional putih mengikut tema yang telah ditetapkan.

“Bagi yang mengenali saya, mereka tahu saya bukan jenis yang mengejar publisiti atau meminta orang untuk mengikuti akaun media sosial saya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dibubungi hari ini, menjawab persoalan dan dakwaan yang timbul berhubung pemakaian beliau dalam program berkenaan.

Alex Chan menegaskan beliau hanya mematuhi arahan parti sebagaimana yang telah dinyatakan dalam surat jemputan.

“Dalam surat arahan parti telah dinyatakan tema pakaian, jadi saya hanya mengikut arahan.

“Mungkin pihak yang mempertikaikan perkara ini bukan daripada PAS atau tidak menerima makluman melalui surat jemputan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa menghormati keputusan dan arahan parti merupakan perkara penting dalam memastikan keharmonian serta kesatuan semua pihak yang bersama dalam perjuangan PAS.