KUALA TERENGGANU – ‘Status quo’ politik di negeri Terengganu stabil apabila pentadbiran negeri masih mengekalkan kedudukan Exco walaupun tiada kerjasama politik di antara PAS dan Bersatu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu, Dato’ Dr Alias Razak berkata, setakat ini semua khidmat dan kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Timbalannya serta Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masih diteruskan.
“Hubungan kerja dan silaturrahim antara PAS dan Bersatu di peringkat negeri masih berjalan baik tanpa sebarang gangguan di peringkat akar umbi,” jelasnya ketika dihubungi.
Katanya, keputusan mesyuarat PAS Pusat sebelum ini yang membincangkan secara mendalam hala tuju kerjasama politik telah menimbulkan beberapa implikasi, namun pelaksanaannya di peringkat negeri masih ditangguhkan.
“Pelantikan penuh jawatankuasa telah dibuat dalam mesyuarat pertama yang dihadiri wakil daripada parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.
“Mesyuarat tersebut membincangkan senarai jawatankuasa yang dicadangkan dan mendapat persetujuan daripada semua parti yang terlibat.
“Di Terengganu, komponen PN terdiri daripada PAS, Bersatu dan Gerakan kerana MIPP tidak mempunyai organisasi negeri di sini.
“Ketiga-tiga parti telah mengemukakan nama calon masing-masing untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.
“Wakil yang hadir dalam mesyuarat itu adalah daripada PAS dan Bersatu, manakala Gerakan turut bersetuju dengan senarai yang dicadangkan,” jelas beliau, yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu.
Namun katanya, keadaan berubah apabila Mesyuarat PAS Pusat memutuskan tiada lagi kerjasama antara PAS dan Bersatu, sekali gus menjejaskan struktur jawatankuasa yang telah dipersetujui sebelum ini
“Tengok suasana bersatu ‘lagu mana’. Tak tahu lagi bila. Setakat ini dia masih dalam PN lagi .
“Kita dan Bersatu tiada masalah semua jawatan dalam kerajaan samada Ahli Majlis (PBT) atau JPKK masih kekal, hubungan kita di peringkat bawah tiada masalah.
“Kalau pusat kata kita kena keluarkan dia (Bersatu) maka ikut je. Sebab di Terengganu bagi saya ada ke tiada ke sama je, dia berharap kita juga,” tambah beliau lagi.
Justeru itu, Dr Alias berkaitan, PN Terengganu kini memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi pilihan raya akan datang dengan sasaran mempertahankan keseluruhan 40 kerusi termasuk 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen.
“Jentera parti juga diarahkan memperkukuh gerak kerja di semua peringkat termasuk kawasan dan cawangan tanpa gangguan isu dalaman,” katanya.





























