AS Akan Lepaskan Dana Iran Dibekukan Bernilai AS$12 Bilion?

25

Amerika Syarikat dilaporkan bersedia melepaskan sehingga AS$12 bilion dana Iran yang dibekukan sebagai sebahagian daripada kerangka rundingan lebih luas antara kedua-dua negara yang sedang diusahakan untuk meredakan ketegangan dan membuka laluan kepada perjanjian akhir.

Menurut laporan beberapa media yang memetik dokumen memorandum persefahaman (MoU) yang dilaporkan didedahkan oleh agensi berita Iran, pelepasan dana itu dicadangkan berlaku sebelum atau pada peringkat awal rundingan rasmi bermula.

Dokumen sama turut menyebut kemungkinan jumlah keseluruhan sehingga AS$24 bilion dilepaskan secara berperingkat dalam tempoh rundingan 60 hari.

“Perunding tertinggi Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata satu persetujuan telah dicapai dengan AS untuk melepaskan dana Iran yang dibekukan sebanyak $12 bilion.

“Ini berlaku selepas AS mengumumkan pelonggaran sementara sekatan untuk membenarkan penjualan minyak dan petrokimia Iran sehingga 21 Ogos.

“Presiden AS, Donald Trump berkata Tehran telah bersetuju untuk membenarkan pemeriksaan nuklear antarabangsa dan sebarang aset Iran yang dilepaskan akan digunakan untuk membeli produk pertanian AS.” Menuurut laporan Al-Jazeera.

Bagaimanapun, pendirian rasmi Washington dilaporkan tidak selaras sepenuhnya dengan naratif tersebut.

Pegawai AS yang tidak dinyatakan pengenalannya, menegaskan sebarang pelepasan aset tidak akan berlaku secara automatik, sebaliknya tertakluk kepada pematuhan komitmen tertentu oleh Tehran dalam pendekatan yang digambarkan sebagai “pay-for-performance”.

Dalam perkembangan berkaitan, rundingan AS–Iran turut menyentuh isu pelonggaran sekatan ekonomi, eksport minyak Iran dan mekanisme pemantauan antarabangsa terhadap program nuklear negara itu.

Beberapa laporan meida termasuk, Reuters dan The Guardian menyebut langkah awal yang sedang dipertimbangkan termasuk lesen sementara bagi aktiviti minyak dan akses terhad kepada dana untuk tujuan tertentu.

Penganalisis berpandangan bahawa walaupun pengumuman berkaitan dana dibekukan boleh menjadi isyarat diplomatik penting, pelaksanaannya dijangka berdepan cabaran undang-undang, politik dan teknikal sebelum sebarang pemindahan sebenar dapat berlaku, menurut Reuters.