MARANG – Islam datang untuk membebaskan manusia daripada belenggu kezaliman yang menguasai kehidupan, termasuk sistem yang menyebabkan kuasa dan kekayaan hanya dikuasai oleh kelompok tertentu.
Presiden PAS, Dato Sri Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sebelum kedatangan Islam, masyarakat banyak dikongkong oleh sistem feudal, kuasa golongan bangsawan dan penyalahgunaan agama sehingga rakyat biasa menjadi golongan yang tertindas.
Menurutnya, perkembangan pemerintahan Islam kemudiannya membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia dengan memberikan hak kepada rakyat untuk memiliki tanah, mencari rezeki dan menjalani kehidupan secara bebas.
“Pemerintahan pula wajib berpandukan hukum yang adil bagi memastikan hak setiap pihak terpelihara,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila.
Beliau menambah, kejayaan pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA membuktikan Islam mampu mentadbir wilayah yang luas dengan penduduk terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya secara adil.


Katanya, hasil negeri tidak dimonopoli oleh golongan tertentu, sebaliknya diuruskan untuk kepentingan rakyat termasuk masyarakat bukan Islam.
“Mereka diberikan ruang untuk mengamalkan agama masing-masing serta hidup dengan adil di bawah pemerintahan Islam,” ujarnya.
Tambah beliau, Islam tidak datang untuk menggantikan satu bentuk kezaliman dengan kezaliman yang lain, sebaliknya membetulkan kehidupan manusia berasaskan keadilan dan amanah.
Menurutnya, prinsip berkenaan merupakan antara keindahan Islam yang membebaskan manusia daripada penghambaan kepada sesama makhluk dan mengembalikan kehidupan kepada petunjuk Allah SWT.

























