Sambutan Hari Kebangsaan Bukan Ukuran Cinta Kepada Negara

3
Dr Balachandran Gopal Krishnan

KUALA TERENGGANU — Kecintaan kepada Malaysia bukan hanya diukur melalui sambutan Hari Kebangsaan, tetapi melalui kesanggupan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama untuk menjaga keamanan, menghormati perbezaan serta mempertahankan keharmonian negara.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr. Balachandran Gopal Krishnan, berkata kecintaan terhadap negara perlu dizahirkan melalui sikap mengambil berat antara satu sama lain, membantu mereka yang memerlukan serta bersama-sama mempertahankan keamanan dan perpaduan.

Menurutnya, kemerdekaan yang sebenar ialah apabila setiap rakyat merasakan Malaysia sebagai rumah bersama tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

“Kita mungkin berbeza bahasa, budaya, kepercayaan dan cara hidup, tetapi kita berkongsi tanah air, masa depan dan tanggungjawab yang sama.

“Cintakan negara juga bermaksud kita menjaga keharmonian, menghormati perbezaan, mengambil berat antara satu sama lain dan membina hubungan antara komuniti,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, kekuatan Malaysia terletak pada kemampuan rakyat menerima perbezaan dan mencari titik persamaan yang mampu menyatukan semua pihak.

Katanya, perpaduan tidak bermaksud masyarakat perlu menjadi sama, sebaliknya perbezaan harus dilihat sebagai peluang untuk saling mengenali dan memahami budaya serta sensitiviti antara satu sama lain.

Dalam usaha menyemarakkan semangat kecintaan kepada negara, DHPP turut menyokong pelaksanaan program yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Antaranya, Hi-Tea RTD Peace dan Harmony, Majlis Dialog Meja Bulat Keharmonian, Perpaduan, Keamanan dan Kemanusiaan Sejagat yang menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada masyarakat Islam, Hindu, Sikh, Kristian dan Buddha.

Dr. Balachandran berkata, program sebegitu penting kerana perpaduan tidak boleh dibina dari jauh, sebaliknya memerlukan masyarakat duduk bersama, berinteraksi dan memahami antara satu sama lain.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak menjadikan media sosial sebagai medan menyemarakkan kebencian dan perpecahan.

Tambahnya, masyarakat perlu mempunyai kematangan digital dengan tidak terburu-buru berkongsi kandungan, menghukum atau membuat kesimpulan terhadap sesuatu isu tanpa mengetahui fakta dan konteks sebenar.

“Dalam isu sensitif melibatkan kaum dan agama, kita perlu memilih dialog berbanding konfrontasi. Jika ada salah faham, cari penjelasan. Jika ada perbezaan, bincangkan dengan matang,” katanya.

Sementara itu, beliau menyeru generasi muda agar menghayati kemerdekaan dengan membina hubungan merentasi kaum, agama dan budaya serta tidak mewarisi prasangka generasi terdahulu.

“Generasi terdahulu telah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Tanggungjawab generasi hari ini ialah mengisi dan mempertahankan kemerdekaan itu dengan perpaduan.

“Malaysia adalah rumah kita bersama. Perpaduan adalah kekuatan kita bersama,” tambah beliau.