KUALA TERENGGANU – PAS menegaskan komitmennya untuk terus memastikan Perikatan Nasional (PN) diurus secara tertib, berprinsip dan berlandaskan perlembagaan gabungan demi menjaga kepentingan rakyat serta negara.
Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN bukan milik mana-mana parti secara mutlak, sebaliknya merupakan gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti-parti pengasas.
Menurut beliau, PAS merupakan antara parti pengasas PN dan beliau sendiri adalah salah seorang penandatangan rasmi penubuhan gabungan tersebut.
“Justeru, sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak.
“Ia hendaklah dirujuk kepada perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Ahmad Samsuri berkata, keutamaan beliau ketika ini adalah memastikan PN terus diurus secara tertib, berprinsip dan bertanggungjawab selaras dengan semangat yang menjadi asas penubuhan gabungan berkenaan.
Tegasnya, segala keputusan berkaitan masa depan dan hala tuju PN perlu dibuat mengikut peruntukan perlembagaan serta mekanisme yang telah dipersetujui oleh parti-parti dalam gabungan itu.





























