Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.
Bala apa sedang melanda tanahair ini apabila punca kuasa ditangan makhluk yang tak mengenal dosa pahala. Pertimbangan hidup mereka hanya laba keuntungan, keseronokan memuja nafsu, ” sensate culture”, pesona dunia dengan seribu kemilau serakah.
Kuala Lumpur dengan banyak perisa dan perencah. Bak jalur pelangi yang bervariasi warna memicu pesona. Kota raya dengan sejuta tarikan menebar pesona, pancaran lampu neon, pesta lampu merah seawal pagi ditutup kemacetan kemuncak diwaktu sore bandaraya dengan sejuta wajah.
Kota ini pernah menjadi menjadi bandar serakah dalam dekad 1930an dan 1940an. Saat zaman “the blue eyes mentality” melingkari kehidupan anak anak tanah jajahan, kuala Lumpur sarat dengan rumah pelacuran, kedai candu, kelab malam, kabaret. Semua ini bagi menghiburkan ekspatriat Eropah, juga kuli kuli kasar sektor perlombongan bijih timah. Kuala Lumpur dengan jajaran bangunan dibina era kolonial bukan sekadar meminjam estetika bangunan dan pencitraan ala Eropah namun juga meminjam sisi gelap kota kota besar Eropah. Kumpulan gangster terutama kongsi gelap Cina, lambakan perempuan yang membuka pehanya demi sesuap nasi ,juga intriksi memenuhi nafsu bejat mereka. Perniagaan paling kuno yang terselit dalam sisi gelap sesebuah kota tanpa iman!.
Penulis terpanar saat Menteri Wilayah Persekutuan galak untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub hiburan rantau ini. Ini juga sebagai tamparan kepada NGO berbasis Islami yang menyokong kerajaan madani, juga kepada ummat yang menolak politik sebagai usaha dan wasilah untuk menjaga agama. Negara jiran kita Singapura, terkenal dengan Pulau Sentosa untuk acara hiburan skala mega. Jakarta juga berbusung bangga dengan pencitraan kota bebas untuk penghibur antarabangsa. Jangan lupa Jakarta pernah memicu perhatian dunia apabila Stadium terbakar semasa konsert Metallica berlangsung, seek dan destroy!.
Las Vegas dan Macau dengan pencitraan kota judinya, kotaraya Bangkok dengan hiburan malam ” sex tourism”nya, Kemana pula wajah Kuala Lumpur ingin dicorakkan oleh regim Madani yang tolol ini?. Tanahair ini sedang membusung sakit yang sakarat. Gejala penagihan najis dadah, peningkatan HIV melalui MSM, kupu kupu malam era digital, gejala buta agama yang semakin menjolok mata maka apakah halatuju Kementerian Wilayah Persekutuan?
Jangan bermimpi untuk mengubah lanskap sosio budaya kotaraya ini . Ratusan konsert dalam setahun dengan pelbagai pilihan genre hiburan kononnya untuk pemberdayaan ekonomi negara. Tak pula disukat impak negatif yang paralel dengan budaya seronok santai daripada industri hiburan. Dalam denai sejarahnya, pasca era 13 Mei 1969, fenomena kebangkitan semula Islam juga mengubah wajah Kuala Lumpur . Dekad 70an , KL tak betah dengan program untuk memandaikan ummat walau pesta pora konsert seperti Cheras Woodstock pada tahun 1972, konsert Deep Purple juga meriah di Stadium Negara menjadi inti yang menarik nafsu serakah manusia.
Secara optikalnya, era ini jika diadakan konsert di Kuala Lumpur, paling ramai penonton ialah daripada kelompok pekerja asing seperti mana konsert basah di Bukit Bintang pada bulan lepas. Lebih tiga dekad dahulu, pendatang asing jarang muncul berjemaah, manakala jajaran penempatan setinggan orang Melayu menjadi sebahagian Kanvas kehidupan yang melengkapkan visual kotaraya yang dibuka oleh Sutan Puasa, Abdullah Hukum ini. Etnik Cina akhirnya menjadi dominan selepas kedatangan British, menggali lombong bijih seterusnya menyusun ruang perkedaian dengan bantuan British. Seiring dengan kedatangan migran dari tanah besar China, maka kotaraya ini disolek dengan pesta pora maksiat.
Kotaraya ini dalam gelembong pengupayaan ekonomi negara sepatutnya diimejkan sebagai kotaraya ilmu yang sarat dengan budaya ilmu seperti pesta buku, bedah buku, forum , wacana intelektual, syarahan perdana, ijtimak ilmu, konvensyen pendidikan serta puluhan acara skala mega yang boleh merancakkan budaya intelektual di negara ini. Kerajaan pimpinan Anwar sepatutnya turut menyaksikan kerancakan program dakwah dan kemeriahan program ilmu bukannya diam menikus dengan cadangan Menteri Wilayah Persekutuan.
Kepada regim madani, jangan rosakkan akhlak rakyat serta melumur najis pada lahan kotaraya utama negara yang pernah cemerlang dengan budaya ilmu. Para asatizah berdatangan daripada seluruh negara, mengisi pengajian agama di pejabat, kilang, masjid surau, rumah orang berada yang budiman dan sebagainya.
Pimpinan PAS agak bebas berkongsi ilmu dengan masyarakat kota yang agak terbuka pemikiran . Adalah niat tersembunyi penguasa untuk meliberalkan pemikiran generasi muda, juga bentrokan hegemoni untuk ” meliarkan” Kuala Lumpur dengan menyisihkan elemen agama serta pemujaan maksiat pesta babi penguasa edan?. Ummat Islam menolak usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub hiburan rantau ini. Noktah!.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI, Mantan Ketua Pemuda PAS WP)





























