Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
Gendang PRU ditabuh perlahan, kocakan nurani seperti ditaufan badai musim tengkujuh. Minggu ini alam medsos seperti tak berhenti mengejek kerajaan paling gagal pernah ditubuhkan semenjak Malaysia merdeka. Kebimbangan awam bukan sekadar melihat harga minyak yang tak menentu namun nasib tanahair akibat refleksi perang Teluk ( krisis Asia Barat) yang bakal menatijahkan inflasi yang bakal melonjak dan menghempap sebahagian besar rakyat terbanyak .
Pertumbuhan kitaran KDNK tak stabil, FDI negara juga tak secerah mentari pagi. Seperti majal sial yang datang bertindan tindih, menghempap batu gemala kepimpinan negara, tiga tahun tujuh bulan negara ini tak berhenti daripada rungutan serta bebelan rakyat sejak 22 November 2022. Kegagalan kerajaan Madani menunaikan manifesto PRU 15, tekanan kepada kebebasan menyuarakan pandangan, malah rakyat disergah dengan angkuh apabila meminta kerajaan melaksanakan janji-janji yang terkandung dalam manifesto. Diikuti dengan polisi ‘flip flop’ kerajaan PHBN serta teknik pusingan U yang kerap sehingga menimbulkan kemualan berganda kepada rakyat.
Semenjak awal rakyat memerhatikan tingkah laku barisan Menteri yang tak kompeten, anggota legislatif daripada pihak kerajaan dengan keobsesan mereka terhadap pangkat darjat , membina kroni kapitalisme serta polisi yang gagal untuk memakmurkan negara. Bak “Kabinet lipas” yang menempatkan pelbagai Menteri yang tak piawai, ada yang tanpa kualifikasi kertas, pemabuk, cenderung menggunakan apparatus kerajaan untuk menyelamatkan diri, pembohong tahap ketagihan atau Mythomania, serta pelbagai tampang buruk yang lain. ” Patalogikal pembohongan” yang ditampal pada imej pemimpin utama negara langsung tak membantu kerukunan negara ini. Parti yang memerintah juga saling berantakan , juga kegagalan melaksanakan reformasi menatijahkan lahirnya parti BERSAMA Sebagai saingan sengit kepada PKR dan Anwar sendiri.
Rakyat umumnya mencebik kepada politikus asal jalanan ini yang membusung dada dengan pangkat serta gelaran feudal walaupun tak terbukti apa jasa bakti mereka pada tanah watan, bahkan peradaban manusia. Rupanya kelompok politikus jalanan ini apabila mendapat kuasa lebih jahat daripada kerajaan yang mereka cemuh selama ini. Tanpa sedar rakyat memerhatikan mereka, dengan pantas cuba menukar cara hidup sekelip mata sehingga mencuat rasa menyampah rakyat.
Kenyataan media pemimpin yang sering bercanggah diantara satu sama lain, bahkan persaingan dalaman, intriq serta polemik berpanjangan, kecuaian intergriti bahkan ada yang masih tak menguasai potfolio masing-masing walaupun sudah dihujung penggal!. Beras hilang, addendum hilang, segalanya memeritkan rakyat dengan kuasa beli yang semakin mengecil. PMX rajin ke luar negara dengan pelbagai alasan kononnya untuk menarik pelaburan namun rakyat tak melihat ROI. PMX menutur kata kata muluk kononnya perkembangan ekonomi yang baik, ironinya pelbagai subsidi untuk rakyat ditarik balik!.
Kesenjangan kaum semakin melebar kerana isu ada kaum yang merasa besar kepala Apabila PHBN memerintah. Mereka berani menggunakan kuasa untuk memperlekeh sijil halal, menukar status tanah tanah kawasan masyarakat bukan bumiputeta bahkan menghidangkan makanan non halal kepada Muslim. Isu penternakan babi di Selangor, sikap biadap pemimpin Dap kepada Sultan Selangor, pengiktirafan UEC, ratusan isu yang lain sangat menganggu tanahair ini . Kerajaan yang rapuh ini menganggu alam siber, mematikan akaun yang aktif berseberangan idea dengan kerajaan. Ugutan halus, intimidasi kepada anak anak muda pro pembangkang, bahkan menggunakan aparat keamanan untuk terus menekan suara pembangkang bahkan suara anak anak muda yang ” rebel”.
Kerajaan PHBN gagal untuk mengawal limpahan warga asing ke negara ini, mencuri peluang pekerjaan rakyat tempatan terutama anak anak muda. Malah membimbangkan dengan pemberian taraf kewarganegaraan yang tak terkawal terutama dari Tanah Besar China. Dap, sekutu besar serta paling dominan dalam kerajaan ini sangat berminat menjaga portfolio PBT dimana kerajaan negeri yang pakatan ini kuasai. Orang Melayu wajib curiga dengan usaha menstrukturkan semula perbandaran dengan matlamat mengubah demografi politik amatlah merbahaya kepada kaum Bumiputera seolah mengulangi nasib orang Melayu di Pulau Temasik!.
Terkini juga dalam isu penggunaan tulisan mandarin dalam kad KKM di Setapak jelas signal usaha mendobrak kontrak sosial oleh parti pemerintah sendiri. Kerajaan PHBN gagal memartabatkan bahasa Melayu, juga kelihatan begitu menjaga kaum minoriti yang mendokong kuat mereka, contohnya bantuan 20 juta kepada sekolah persendirian Cina di negara ini. Dekadensi moral juga makin menyurut kebelakang, 40 konsert besar terus digalang pada tahun 2025 tanpa menghiraukan impak negatif kepada generasi muda. Konsert Rain Rave baru – baru ini telah mengorbankan erti kebudayaan kebangsaan, namun dibilas samak dengan acara Quran madani. Pragmatisme yang mencalar karomah insaniah, kerosakan akhlak bukan dalam vara fikir kerajaan Madani. Konsep Madani dilacurkan sesedap kosa kata!. anak anak dibajai kepada budaya hedonism ketimbang budaya intelektual dizaman edan Madani ini.
Wahai rakyat Malaysia yang pernah membuat kesilapan dalam memilih pemimpin dalam PRU 15 terutama ahli – ahli NGO berbasis Islam. Kalian masih ada secubit peluang untuk membaiki tanahair tercinta ini. Pilihanraya akan datang PAS PN akan terus tampil dengan calon-calon terbaik, manifesto yang membumi serta terus berusaha menjaga tanahair ini dengan Syariah. Pilihan di tangan anda, silap memangkah maka implikasinya bukan sekadar lima tahun tetapi terheret kesannya sehingga akhirat.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)



























