Ekonomi Negara Didakwa Berkembang, Tapi Rakyat Tak Rasa

42

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Madani mendakwa pertumbuhan ekonomi negara positi, namun rakyat tidak merasai nikmatnya, bahkan tekanan kos sara hidup terus mencengkam.

Ahli Jawataniuasa PAS Pusat, Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim menambah, kenaikan harga diesel ketika ini memberi kesan besar kepada pelbagai sektor termasuk pengangkutan, pertanian dan perniagaan kecil.

Menurut beliau, peningkatan kos bahan api tersebut akhirnya menyebabkan harga barangan turut meningkat sekali gus menambah beban rakyat bawahan.

“Bila diesel naik, kos pengangkutan turut meningkat dan akhirnya rakyat yang menanggung beban,” kata Ahli Parlimen KualaTerengganu itu ketika dihubungi, mengulas isu ekonomi semasa negara.

Beliau turut mempersoalkan kenaikan harga produk petoleum di Malaysia yang disifatkan berlaku secara mendadak berbanding negara jiran selain menyentuh isu perbezaan harga antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Beliau turut mengkritik pelaksanaan subsidi bersasar melalui penggunaan sistem “Fleet Card” yang didakwa menyukarkan golongan pesawah dan petani kecil mendapatkan subsidi minyak.

Katanya, syarat seperti keperluan syarikat berdaftar dan laporan audit menyebabkan ramai pesawah kampung gagal menikmati bantuan yang diumumkan kerajaan.

Beliau berkata peningkatan kos benih, baja, jentera dan diesel turut menyebabkan golongan pesawah berdepan keuntungan yang semakin kecil.

Oleh itu, beliau berkata, pertumbuhan ekonomi yang diumumkan kerajaan tidak selari dengan realiti kehidupan rakyat yang masih berdepan masalah gaji rendah, kuasa beli lemah serta peningkatan kos harian.

“Kalau ekonomi benar-benar baik, rakyat patut rasa lega. Tetapi hari ini ramai masih bergelut untuk meneruskan kehidupan,” katanya lagi.