PAS Terengganu Hantar 300 Petugas Bantu Kempen PRN Melaka

249

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu akan menghantar seramai 300 orang petugas mahir ke Alor Gajah, Melaka, bagi membantu gerak kerja pilihan raya Negeri (PRN) bermula minggu hadapan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, persiapan awal telah dilakukan termasuk tinjauan kawasan dan penghantaran jentera serta logistik sejak dua minggu lalu.

Katanya, beliau sendiri telah turun meninjau kawasan terbabit bulan lalu bagi melihat keperluan gerak kerja dan penyelarasan petugas.

“Bulan lepas saya sendiri pergi meninjau dan dua minggu lepas kita sudah hantar jentera.

“Insya-Allah minggu ini dan minggu depan kita hantar 300 orang untuk bertugas,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Penggunaberkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Himpunan Pemandu Dan Ride E Hailing, di Dewan Sivik Bukit Payung, semalam.

Menurut beliau, petugas yang dihantar akan menjalankan tugasan seperti biasa termasuk membantu operasi pilihan raya sehingga hari pengundian.

“Kita jaga Alor Gajah dan tugasan seperti biasa dan akan berada di sana sehingga hari pengundian,” katanya.