Kuasai Media Sosial Kunci Dekati Pengundi Muda PRU16

32

Oleh: Siti Sopiah

Hulu Terengganu – Penguasaan media sosial khususnya platform digital seperti TikTok dan Facebook kini menjadi elemen penting dalam strategi politik semasa bagi mendekati pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perubahan landskap politik hari ini menuntut pendekatan yang lebih segar, kreatif dan sesuai dengan jiwa generasi muda.

Menurut beliau, golongan anak muda terutama pengundi kali pertama (First Time Voters) perlu diberi perhatian khusus kerana mereka merupakan kelompok signifikan yang mampu mempengaruhi keputusan pilihan raya.

“Dalam konteks hari ini, medan politik telah berubah. Dunia tanpa sempadan menuntut kita menguasai media sosial khususnya TikTok. Kita perlu membuat analisis data yang terperinci melibatkan pengundi muda dan golongan bawah 40 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Himpunan Jentera Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Mesyuarat Agung Berkelompok DUN Telemong di Kompleks An-Nur, Kampung Pauh, di sini pada 16 April lalu.

Dr. Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, pendekatan kepada pengundi tidak boleh bersifat satu hala, sebaliknya perlu melibatkan interaksi dua hala serta memahami isu yang dekat dengan mereka seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup dan masa depan negara.

“Kita perlu santuni anak muda dengan pendekatan yang sesuai dengan jiwa mereka, manakala bagi golongan veteran, pendekatan kebajikan dan kemasyarakatan perlu diteruskan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan penggunaan media sosial perlu disertai dengan etika dan tanggungjawab bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mencetuskan fitnah atau perpecahan dalam masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa matlamat perjuangan PAS adalah untuk mencapai reda Allah serta membentuk pemerintahan yang dapat melaksanakan Islam secara menyeluruh.

“Islam tidak dapat dilaksanakan secara sempurna tanpa kuasa. Justeru kita berusaha dalam ruang demokrasi yang ada dengan pendekatan berperingkat,” katanya.

Menurut beliau lagi, media sosial merupakan alat yang sangat berkuasa dan jika digunakan dengan baik mampu mendidik serta menyatukan masyarakat, namun jika disalah guna boleh membawa kerosakan.

Sehubungan itu, beliau menyeru jentera parti agar memperkukuh kemahiran digital serta strategi komunikasi bagi memastikan mesej perjuangan dapat disampaikan secara berkesan kepada semua lapisan masyarakat.

Majlis berkenaan menyaksikan komitmen tinggi dalam kalangan jentera yang hadir sebagai persediaan menghadapi cabaran PRU16 akan datang.