Lebih 100,000 Hadir Meriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat PAS

46

KUALA TERENGGANU – Lebih 100,000 pengunjung membanjiri sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PAS Terengganu yang berlangsung dengan penuh meriah, sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa daripada rakyat pelbagai lapisan.

Pengarah program, Dato’ Haji Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, beliau amat bersyukur dengan kehadiran yang begitu menggalakkan dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan.

“Alhamdulillah, sambutan yang sangat menggembirakan. Terima kasih kepada semua yang hadir daripada Bersatu, Gerakan, Umno MIC dan pegawai-pegawai kerajaan, NGO dan seluruh rakyat yang bersama-sama memeriahkan majlis ini,” jelasnya ketika ditemui pihak media di Dataran Shah Bandar, pada 16 April.

Menurut beliau, aspek penyediaan makanan turut menjadi antara tumpuan utama dengan jumlah hidangan yang besar bagi menampung kehadiran ramai.

“Menu utama kita ialah nasi minyak bersama gulai daging, disediakan dalam kira-kira 30 kawah. Selain itu, terdapat pelbagai lagi hidangan lain dengan anggaran sekitar 50 menu keseluruhannya,” jelasnya.

Tambah beliau, makanan yang disediakan mencukupi walaupun kehadiran pengunjung melebihi jangkaan awal.

“Kita jangka makanan cukup sehingga sekitar jam 3 petang, dan alhamdulillah sekitar jam 2.30 petang masih terkawal serta mencukupi,” katanya lagi.

Menariknya, kehadiran orang ramai bermula seawal jam 9 pagi, walaupun majlis dijadualkan bermula pada jam 11 pagi.

“Seawal jam 9 pagi orang ramai sudah hadir dan ada yang ingin menjamu selera, menyebabkan kita terpaksa membuka jamuan lebih awal daripada perancangan,” ujarnya.

Sebanyak 12 reruai disediakan yang menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman bagi memenuhi selera pengunjung.

Dalam pada itu, pertandingan reruai terbaik turut diadakan bagi menyemarakkan lagi suasana, dengan daerah Kemaman berjaya mempertahankan kejuaraan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Tempat kedua dimenangi oleh Kuala Nerus dengan hadiah RM2,000, manakala Dungun di tempat ketiga menerima RM1,000.

Program berkenaan bukan sahaja menjadi platform mengeratkan silaturahim, malah membuktikan semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat negeri ini terus utuh.