Sasar 100,000 Hadir, Persiapan Majlis Raya PAS Terengganu Berjalan Lancar

279

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu menyasarkan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung bagi memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Pengarah program, Dato’ Haji Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, program tersebut merupakan acara tahunan parti yang sentiasa mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.

“Setakat ini, persiapan berada pada tahap yang sangat baik dan dijangka siap sepenuhnya menjelang hari Rabu.

“Kita melibatkan pelbagai jawatankuasa dan petugas bagi memastikan setiap aspek program berjalan lancar.

“Alhamdulillah, persiapan berjalan lancar dan kita kini berada di fasa akhir sebelum program berlangsung. Insya-Allah, semua akan siap sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan,” jelasnya.

Beliau yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu (BPPNT) berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor turut menyeru seluruh rakyat Terengganu tanpa mengira latar belakang untuk hadir beramai-ramai memeriahkan sambutan tersebut.

“Program ini adalah ruang untuk kita merapatkan silaturrahim, mengeratkan ukhuwah dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di samping meraikan Syawal dalam suasana penuh kegembiraan.

“Kita jemput semua untuk hadir beramai-ramai,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Persiapan, Khairuddin Muhamad berkata, sebanyak 16 reruai (booth) makanan telah disediakan, melibatkan 12 gerai daripada kawasan-kawasan dan empat lagi daripada dewan-dewan.

Menurut beliau, persiapan telah dimulakan lebih awal dengan memberi tumpuan kepada susun atur khemah, pentas, laluan pengunjung dan ruang jamuan supaya lebih teratur, kemas dan selesa.

“Kita bukan sahaja memberi fokus kepada jumlah gerai, tetapi juga aspek keselesaan pengunjung,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa antara cabaran utama dalam persiapan adalah faktor cuaca dan kekangan masa, namun ia berjaya diatasi hasil kerjasama erat dalam kalangan petugas teknikal serta sukarelawan.

“Walaupun terdapat cabaran, semangat kerja berpasukan sangat membantu mempercepatkan proses persiapan.

“Semua pihak memberi komitmen tinggi demi memastikan kelancaran program ini,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, persiapan program ini melibatkan kira-kira 12 petugas utama dengan sokongan ramai sukarelawan yang bertungkus-lumus sejak awal.

“Alhamdulillah, kami amat menghargai setiap tenaga yang dicurahkan.

“Harapan kami agar program ini dapat berlangsung dengan lancar, teratur dan memberi pengalaman yang bermakna kepada semua pengunjung,” katanya.

Tambahnya, pelbagai persiapan tambahan turut dilakukan termasuk aspek pengurusan trafik, kebersihan dan kawalan keselamatan bagi memastikan kelancaran sepanjang program berlangsung.

“Insya-Allah, dengan perancangan rapi dan kerjasama semua pihak, kita yakin program ini akan berjalan dengan jayanya serta menjadi kenangan indah kepada semua yang hadir,” katanya.