Dakwaan Rasuah Ahli Parlimen PKR Dalam Kes ‘Mafia Korporat’ Perlu Siasatan Segera, Telus

155

Perikatan Nasional (PN) memandang serius dakwaan seorang ahli perniagaan berhubung pembayaran sebanyak RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkait usaha “menyelesaikan” isu rangkaian yang digelar sebagai “mafia korporat”.

Dakwaan ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja melibatkan jumlah wang yang besar, tetapi turut menimbulkan persoalan serius berkaitan tadbir urus korporat, penyalahgunaan pengaruh politik serta integriti institusi negara.

Lebih membimbangkan, menurut dakwaan tersebut wang berkenaan diberikan untuk tujuan mendapatkan campur tangan politik dalam urusan korporat.

Sekiranya benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus baik dan integriti yang selama ini dilaungkan oleh kerajaan.

Ia juga berpotensi mencetuskan persepsi bahawa pengaruh politik digunakan untuk campur tangan dalam urusan korporat serta proses penguatkuasaan undang-undang.

Justeru, PN menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk segera menjalankan siasatan yang menyeluruh, bebas dan telus tanpa selindung bagi memastikan kebenaran ditegakkan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak atau individu.

PN juga menggesa kerajaan, khususnya kepimpinan PKR, supaya memberikan penjelasan segera kepada rakyat, selain bekerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan.

Kegagalan menangani dakwaan ini secara terbuka dan berintegriti hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa.

Dalam pada itu, PN juga mendesak supaya identiti individu terlibat hanya ditentukan melalui proses siasatan yang sah bagi menghindari spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak yang tidak bersalah.

PN akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan teragak-agak untuk membawanya ke Parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan.

Integriti bukan sekadar slogan dan kata-kata muluk pemanis bicara, tetapi lebih daripada itu, ia menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti yang konsisten dan berani.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PN
26 Mac 2026