Teguh Memimpin: Jentera Muslimat Sentiasa Siap Siaga

222

KUALA TERENGGANU – Jentera pilihan raya Muslimat di semua peringkat sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) menerusi pelaksanaan pelan strategik “Teguh Memimpin” yang digerakkan secara tersusun di semua peringkat.

Menurut Naib Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu, Hajah Zuraida Md Noor berkata, meskipun parti menjadi kerajaan, program kebajikan dan turun padang kepada rakyat tidak pernah dihentikan.

“Walaupun kita jadi kerajaan, di peringkat parti banyak sangat program kebajikan yang dilaksanakan dan program turun langsung kepada rakyat dan pengundi,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian ketika ditemui pihak media di Majlis rumah Terbuka Aidilfitri DUN Ladang, di Hadapan Masjid Khalifah, Jalan Pusara, semalam.

Zuraida menjelaskan bahawa program yang dijalankan merangkumi aktiviti dalaman dan luaran, khususnya sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini, termasuk ziarah kepada golongan miskin, asnaf, anak yatim, ibu tunggal, dam masyarakat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang politik.

Beliau turut memuji peranan aktif sayap Muslimat yang dilihat proaktif dalam memastikan program kebajikan berjalan lancar.

“Saya sangat bangga dengan Muslimat kerana mereka kehadapan untuk program ziarah.

“Kita ada sasaran, bukan hanya ahli PAS sahaja, orang Umno ke atau sesiapa sahaja rakyat yang perlu ziarah, kita ziarah,” ujarnya.

Zuraida menegaskan bahawa pendekatan ini memastikan kehadiran parti sentiasa dirasai oleh rakyat, sekali gus memperkukuh gerak kerja dan kesiapsiagaan jentera parti secara lebih tersusun serta berkesan menjelang pilihan raya.