Bangunan Uzur di Jalan Engku Sar Cacatkan Pemandangan Bandar

129

KUALA TERENGGANU – Keadaan sebuah bangunan terbiar di Jalan Engku Sar yang semakin uzur dan tidak diselenggara terus mengundang rungutan orang ramai apabila ia dilihat mencacatkan pemandangan kawasan bandar serta menjejaskan imej kawasan tersebut.

Seorang warga cakna yang dikenali sebagai Aminah bin Saad berkata, bangunan berkenaan bukan sahaja memberi gambaran negatif kepada pelawat dan penduduk, malah berpotensi menjadi lokasi aktiviti tidak sihat sekiranya terus dibiarkan tanpa pemantauan.

“Saya sarankan agar pihak berkuasa lakukan sesuatu pada bangunan tersebut,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, struktur bangunan separa kayu dan rumput rampai menjalar jelas menunjukkan ia telah lama terbiar tanpa tindakan.

“Keadaan ini bukan perkara baharu. Setiap hari orang lalu-lalang di kawasan ini.

“Ia terletak di laluan utama bandar, jadi sudah tentu memberi persepsi kurang baik kepada pengunjung luar.

“Kita juga bimbang soal keselamatan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa dapat turun padang dan mengambil tindakan terhadap premis tersebut.

“Kita bukan mahu menyalahkan sesiapa, tetapi ini soal kepentingan awam. Jika tidak mampu diselenggara, mungkin boleh dirobohkan atau dibangunkan semula supaya kawasan ini lebih terurus dan selamat,” katanya.

Justeru itu, beliau turut berharap isu berkenaan tidak dipandang ringan dan tindakan proaktif dapat dilaksanakan segera demi memastikan persekitaran bandar kekal bersih, selamat dan kondusif untuk semua.