Hidangan Arak Dalam Majlis Rasmi Kerajaan, PM Jangan Membisu!

79
Ustaz Mohd Harun Esa

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan penganjur majlis pelancaran Global Travel Meet di bawah Tourism Malaysia yang telah mencemarkan maruah negara dengan hidangan arak secara terbuka dalam majlis rasmi kerajaan yang turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

2. Tindakan ini bukan sahaja tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, malah mencerminkan sikap angkuh dan tidak sensitif terhadap majoriti umat Islam di negara ini.

3. Lebih mendukacitakan, sehingga kini tiada sebarang kenyataan tegas dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap insiden yang amat memalukan ini. Sikap membisu dalam hal yang menyentuh prinsip agama dan maruah negara amat dikesali, seolah-olah perkara ini boleh dipandang ringan.

4. Perdana Menteri tidak boleh terus berdiam diri kerana insiden ini berlaku dalam program rasmi kerajaan, bukannya majlis peribadi.

5. Isu arak bukan perkara remeh, akan tetapi telah terbukti menjadi punca kepada pelbagai kerosakan sosial dan kemalangan jalan raya, selain jelas dilarang oleh Islam. Dalam konteks Malaysia, banyak nyawa tidak berdosa terkorban akibat tindakan pemandu mabuk.

6. Menurut data rasmi yang didedahkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada November 2024, sebanyak 149 kes kemalangan akibat pemanduan dalam keadaan mabuk telah didakwa di mahkamah sejak tahun 2021. Angka ini menunjukkan isu ini semakin meningkat dan tidak boleh dipandang sepi.

7. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga merekodkan 69 kemalangan maut akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah dalam tempoh antara tahun 2011 hingga 2021. Angka-angka ini mewakili nyawa manusia yang terkorban akibat normalisasi budaya arak dalam masyarakat dan kelalaian terhadap undang-undang.

8. Dalam Islam, arak diharamkan secara jelas. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 90 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beroleh kejayaan”. Ayat ini merupakan dalil qat’ie yang tidak boleh dipertikaikan.

9. Larangan arak bukan sahaja tertumpu kepada perbuatan meminumnya, tetapi juga kepada peranan mempromosi, menghidang, menggalakkan serta menormalisasikan penggunaannya dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi, ia tidak sepatutnya berlaku dalam majlis rasmi kerajaan yang menjadi cerminan dasar negara dan identiti Islam sebagai agama Persekutuan.

10. PAS Terengganu berpandangan bahawa tindakan membiarkan insiden seperti ini tanpa teguran dan pendirian tegas daripada kepimpinan tertinggi negara akan membuka ruang normalisasi terhadap perkara mungkar dan mencemarkan prinsip Islam dalam pentadbiran negara. Kerajaan perlu bertanggungjawab dan memastikan perkara seperti ini tidak berulang. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya perlu tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, atas kebiadaban dan kelalaian yang berlaku dan wajar meletak jawatan dengan segera.

11. Perdana Menteri juga perlu menyatakan pendirian yang tegas serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap menteri yang telah mencemar nama baik kerajaan sendiri.

12. PAS Terengganu menegaskan bahawa arak bukan budaya Malaysia dan tidak boleh dijadikan simbol kemajuan atau sambutan dalam sebarang program rasmi kerajaan.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

USTAZ MOHD HARUN ESA
KETUA PENERANGAN PAS TERENGGANU

6 Oktober 2025 | 14 Rabiulakhir 1447H