DUNGUN – Arak tidak pernah menjadi lambang kemajuan dan menghidangkannya secara terbuka, tidak sama sekali kali mencerminkan budaya dan adat ketimuran.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Malaysia, YB Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyelar tindakan Menteri Kerajaan Persekutuan yang tidak bermaruah dan bercanggah dengan nilai murni masyarakat Malaysia.
“Saya dengan penuh rasa kecewa mengecam sekeras-kerasnya mana-mana majlis kerajaan mahupun awam yang menghidangkan arak secara terbuka, lebih-lebih lagi apabila turut melibatkan kehadiran orang Melayu dan Muslim,” tegasnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu itu turut menegur sikap kerajaan tidak berdiam diri dan betindak tegas dan mesti menghukum pihak yang bertanggungjawab, walaupun yang melakukannya adalah seorang menteri sekalipun, jika terbukti terlibat dalam penganjuran majlis sebegitu..
“Perdana Menteri (PMX) pula mesti lebih tegas dalam mengawasi setiap menteri dan pihak bawahannya.
“Jangan sekali kali mengulangi kesilapan ini kerana jika dibiarkan, bimbang negara ini akan ditimpa bala daripada Allah Taala.
“Ingatlah, kuasa dan jawatan hanyalah pinjaman daripada Allah, ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa sahaja jika amanah ini tidak dijaga dengan penuh tanggungjawab,” nasihatnya.