‘We are Sibling’ Satukan PAS-Umno Batu Rakit

1029

Oleh : Izzat Al-Qushairi

SETIU – Slogan ‘We are Sibling’ (kita semua adik-beradik) berjaya menyatukan rakyat yang berbeza ideologi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit pasca Himpunan Penyatuan Ummah (HPU).

Ketua Pemuda PAS kawasan Setiu, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya mula bergerak mengaplikasikan agenda Perpaduan Ummah dengan membawa slogan tersebut.

Jelasnya, usaha tersebut telah dimulakan dalam setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Batu Rakit sempena sambutan Hari Malaysia semalam

“Setiap MPKK dalam DUN Batu Rakit menganjurkan program Sambutan Hari Malaysia dan kesemuanya sambutan itu mendapat sambutan yang sangat hebat dari pelabagai latar politik penduduk.

“Bersama kita lebih 3,000 masyarakat melaungkan ‘We are Sibling’ semasa Program Hari Malaysia peringkat MPKK Dun Batu Rakit,” ujarnya ketika ditemui pemberita semasa program tersebut semalam.

Katanya lagi, semangat HPU yang berlangsung dua hari lepas di Kuala Lumpur harus dikekalkan dan dilaksanakan di setiap peringkat agar ia mampu memperbetulkan segala kepincangan politik dalam negara.

“Seluruh masyarakat kampung bergembira dengan penyatuan ini. Buktinya, mereka sama-sama hadir dalam program anjuran MPKK tanpa mengira warna parti.

“Sudah sampai masa, kita antara dua parti melayu terbesar ini bersatu atas dasar agama Islam yang menjadi rujukan kita,” tambah beliau.