Waqi’ Mahkamah Berbeza Dengan Waqi’ Parti……..

827

Oleh : Dr Azman Ibrahim

Bila ditohmah kononnya ustaz-ustaz dalam PAS ini jumud, tak memahami fiqhul waqi’, tak tahu apa itu 1MDB dan macam-macam lagi, saya minta sahabat-sahabat saya yang bergelar ustaz tak perlu jawab.

Biar saya yang bukan ustaz tolong bersuara. Komen saya mudah saja. Inilah dia keindahan berjamaah. Saling melengkapi dan memerlukan. Benar… mungkin ada ustaz yang tak boleh nak ulas apa itu 1MDB, tapi tentunya dia mahir di bidang lain. Nak borong semua yang bergelar ustaz dengan tohmahan liar adalah kelakuan tidak sewajarnya dan tidak berakhlak.

Kita dijadikan Allah dengan kemahiran dan kepandaian yang berbeza. Adalah mustahil nak suruh saya masuk mahkamah untuk bela peserta demonstrasi dan juga bukan orangnya untuk nak mintak loyar masuk kampung perubat orang sakit.

Takrif fiqhul waqi’ perlu difahami dengan makna yang lebih luas. Antaranya, kita perlu memahami dan membezakan waqi’ semasa berhujah dalam mahkamah dengan waqi’ semasa perbincangan dan mesyuarat parti.

Ianya tak sama dan tak serupa. Dalam mahkamah kita berhujah untuk menang kes sebaliknya dalam parti kita berhujah untuk mencari keputusan terbaik. Kalau kamu berhujah dalam mesyuarat parti untuk kamu muncul sebagai pemenang, saya bimbang kamu tersalah belajar ilmu fiqhul waqi’!