KEMAMAN – Peranan wanita dalam perjuangan Islam bukan sekadar di belakang tabir, malah menjadi tulang belakang yang mengukuhkan gerak kerja jemaah.
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, YB Ustazah Salamiah Mohd Noor berkata, wanita sering tidak kelihatan di hadapan, tetapi itulah sebenarnya kekuatan yang tersimpan.
“Wanita memikul pelbagai emosi dan perasaan secara diam demi mempertahankan perjuangan Islam.
“Kadang kita sedih, kadang gembira, tetapi semua disimpan dalam hati kerana kita tahu ini jalan pengorbanan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam program Bicara Hati Wanita: Di Sebalik Tabir Perjuangan Wanita sempena Himpunan Teguh Memimpin Terengganu 1.0 di Padang Arena, Chukai, pada hari ini.
Menurutnya, pengorbanan wanita meliputi masa, kerjaya, emosi dan kesihatan.
“Ramai wanita korbankan usia, kerjaya dan masa rehat untuk hadir program jemaah. Ini semua pelaburan akhirat,” ujarnya.
Ustazah Salamiah turut menegaskan bahawa Muslimat adalah pelengkap perjuangan yang memperkukuh dan mempercepat gerak kerja Islam.
“Bayangkan kalau Muslimat cuti sebulan, pasti muslimin pun tertanya-tanya. Ini bukti kita penting dalam jemaah,” katanya.
Dalam sesi tersebut, beliau turut menjawab persoalan tentang keseimbangan peranan wanita sebagai isteri, pekerja dan aktivis.
Menurut beliau, kunci utama adalah pengurusan masa dan kerjasama dengan pasangan.
“Bila suami dan anak-anak memahami peranan kita, mereka akan bantu. Rumah tangga bukan kerja isteri semata-mata,” katanya.
Beliau turut menasihati wanita agar berani berkata ‘tidak’ kepada program yang tidak mendesak dan tidak memberi manfaat langsung.
“Kita tahu keupayaan diri. Jangan sampai lalai dalam tugas utama sebagai hamba Allah,” tambah beliau.
Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh wanita muda agar tidak menunggu masa tua untuk menyumbang dalam perjuangan Islam.
“Perempuan menyertai perjuangan sejak muda. Kita juga perlu guna usia sihat dan bertenaga ini sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berharap, para wanita agar terus istiqamah dan memanfaatkan masa yang ada demi redha Allah.